Pemuda AMANAH cadang tubuh tabung pembangunan Gaza di bawah pengurusan ASEAN

Pemuda AMANAH Nasional menyeru Kerajaan Malaysia menubuhkan Tabung Pembinaan Gaza di bawah pengurusan ASEAN bagi memastikan usaha pembangunan semula diteruskan.

Naib Ketua Pemudanya, Ammar Atan berkata, di bawah pengurusan ASEAN, tabung ini dapat melibatkan kerjasama negara serantau dan antarabangsa untuk memastikan dana yang disalurkan sampai kepada rakyat Gaza dengan berkesan.

Beliau berkata, tabung ini akan menjadi platform kolektif untuk membantu rakyat Palestin membina semula kehidupan mereka selepas serangan kejam rejim Israel.

“Dana tersebut boleh digunakan untuk membina semula sekolah, hospital, tempat perlindungan, dan infrastruktur asas lain.

“Penglibatan ASEAN dapat memastikan usaha ini terus dilaksanakan, sekaligus menonjolkan Malaysia sebagai pemimpin dalam menyokong keadilan dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ammar, langkah menubuhkan Tabung Pembinaan Gaza mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik serantau dan antarabangsa.

Disebabkan Malaysia telah membuktikan bahawa sokongan kepada Palestin tidak menghalang kestabilan ekonomi, maka melalui pengurusan ASEAN, tabung ini dapat menjadi simbol solidariti serantau yang berkekalan.

“Pemuda AMANAH yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu rakyat Palestin tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dan ASEAN sebagai pelopor keadilan sejagat.

“Malaysia mempunyai peluang besar untuk menunjukkan kepimpinan berprinsip yang membawa perubahan bermakna kepada dunia,” ujarnya lagi.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 15,000 bangunan di Gaza telah musnah atau rosak, termasuk rumah, sekolah, hospital, dan masjid.

BACA JUGA Bekas CEO syarikat air Johor didakwa tipu sumbangan RM3.38 juta

Â