Rayyan berpaut pada kayu sebelum hilang di hujung longkang
Abang kepada kanak-kanak lelaki sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Kota Tinggi, petang tadi memberitahu terdapat seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu.
Mohd Shazif Iman Gentor, 28, berkata, lelaki berkenaan menjadi antara orang terakhir yang melihat kelibat adiknya dibawa arus deras sebelum hilang di penghujung saluran longkang.
“Dia ada maklumkan air memang deras, tetapi dia sempat juga berlari ikut adik yang sedang dibawa arus dan katanya adik ada berpaut pada kayu sebelum hilang di penghujung longkang,” katanya, dipetik BH.

Beliau berkata, adik bongsunya Mohammad Rayyan Alif yang memang suka bermain di kawasan longkang dekat perumahan mereka di Taman Kota Jaya kerap dilarang berbuat demikian.
Ketika kejadian, jelasnya, memang hujan dan Mohd Shazif berkata, adiknya petang tadi hanya bermain berdua dengan seorang lagi kanak-kanak yang jarang bermain bersama.

“Memang hari-hari tegur dan nasihat dia sebab suka main dekat longkang. Cuma, biasanya dia main ramai-ramai, hari ini mungkin sebab hujan.
“Jadi, dia main dengan kawan yang bukan biasa dia main, hanya berdua sahaja,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan hendak mengambil selipar yang jatuh ke dalam longkang yang dipercayai ketika itu berarus deras serta dalam.
Pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan pencarian kanak-kanak berkenaan.
BACA JUGA Tular kes ditetak parang 11 lelaki bertopeng, kalaulah pintu berkunci…