Tular kes ditetak parang 11 lelaki bertopeng, kalaulah pintu berkunci…
Tular di media sosial rakaman CCTV memaparkan sekumpulan penjenayah bertopeng melakukan serangan bersenjata di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menahan enam individu berusia 23 hingga 28 tahun disyaki terlibat dalam serangan yang mengakibatkan dua individu cedera parah ditetak parang.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu jam pada 12.13 tengah malam menerusi panggilan MERS 999.
Beliau berkata, kumpulan penjenayah yang menaiki tiga kereta itu membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci dan kemudiannya terus berlari masuk ke dalam kediaman itu.
“Suspek menyerbu dua lelaki berusia 31 dan 38 tahun yang berada di ruang tamu rumah dan menetak mereka berkali-kali menggunakan parang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat serangan itu, kedua-dua mangsa cedera parah pada bahu, badan, kaki, tangan serta beberapa bahagian badan yang lain akibat ditetak.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan parang lebih kurang enam inci masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci,” katanya.
Mohd Fairus berkata, kedua-dua mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah dan narkotik lampau itu direman selama tiga hari sehingga 29 Januari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA Tak serik kena saman, Razman dakwa Hannah Yeoh anak pemilik YTL pula