Menjelang Tahun Baru Cina, DAP dapat angpau RM830,000 dari Pas

Pelbagai pihak mengulas bayaran RM830,000 oleh ahli Parlimen Pas dari Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kepada tiga pemimpin DAP, namun nukilan kartunis Zunar yang paling menarik.

Bayaran RM830,000 oleh Mastura kepada tiga pemimpin DAP ini disifatkan oleh Zunar atau nama sebenarnya Zulkifly Anwar ul Haq sebagai angpau menjelang Tahun Baru Cina yang akan jatuh esok hari.

“CNY di rumah Uncle Roket – Mama kasi RM100, Papa kasi RM100, Pas kasi RM830,000” adalah bunyi dialog kartun terbaru Zunar mengenai isu ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Pembayaran ganti rugi itu dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam tiga pemimpin itu, Datuk Sankara Nair pada Rabu.

Sankara mengesahkan bahawa firma guamannya telah menerima cek berjumlah RM830,034.75, termasuk faedah sehingga Khamis daripada Siti Mastura.

Ahli Parlimen Pas itu telah mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos guaman berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif dengan menyerahkan cek kepada Sankara Nair, sementara menunggu rayuan kes.

“Dengan persetujuan ini direkodkan, kami akan mengeluarkan surat ikatan kepada defendan untuk tindakan lanjut dan menunggu perbicaraan Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi aplikasi Zoom Meeting yang diadakan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, yang turut dihadiri peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff.

Mastura disaman oleh tiga pemimpin DAP itu ekoran kenyataannya bahawa mereka bertiga adalah sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

BACA JUGA Rupanya banyak lagi tuduhan Razman, kali ini Hannah bertegas