Fitnah amal ilmu hitam, Rosmah tuntut RM1 juta dari TikTokers

Datin Seri Rosmah Mansor menuntut RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok kerana memuat naik video mendakwa isteri kepada bekas perdana menteri itu mengamalkan ilmu hitam.

Rosmah menuntut jumlah itu dalam afidavit difailkan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar Ku Muhammad Hilmie Ku Din.

Peguam Rosmah iaitu Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, berkata, afidavit itu telah diserahkan kepada defendan namun ia tidak dibalas.

Hari ini ketika menetapkan pendengaran kes pada 27 Mei, Hakim Ahmad Shahrir Salleh mengarahkan peguam mewakili Rosmah menghantar hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh pendengaran.

Terdahulu defendan didamwa telah memuat naik video dalam akaun TikTok yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.

Individu itu mendakwa Rosmah melakukan perbuatan berdosa dan membabitkan upacara melibatkan syaitan dan bomoh. Mereka juga mendakwanya mengamalkan syirik.

Rosmah berkata, kenyataan itu merosakkan reputasinya sebagai isteri perdana menteri keenam dan pelbagai pertubuhan dinaunginya di Malaysia.

Rosmah turut mendakwa ia mengakibatkan beliau dipandang negatif oleh orang ramai, diejek, dan dihina, selain mencemarkan nama baik sebagai tokoh masyarakat dikenali.

Saman itu menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan.

BACA JUGA Kerap fitnah macam mana nak perpaduan? Ucapan raya Cina ‘calon PM’ ini hanya kena kecam