Kontroversi sandwic ‘ham & cheese’: Cecelia Yap mohon maaf, ini janjinya
Selepas mencetuskan kontroversi melalui hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam, pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL tampil memohon maaf.
Wanita berusia 65 tahun itu menyatakan rasa amat kesal atas kenyataan tidak sensitifnya berhubung isu kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ yang disiarkan di media sosial.
Menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co, pesara jururawat swasta berkenaan turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan biadab itu lagi.
“Saya, Cecelia Yap Song KL, dengan ini memohon maaf kepada semua yang terkilan dengan komen saya di laman Facebook Harith Iskander, terutamanya kepada saudara saudari beragama Islam yang amat saya hormati.
“Saya amat kesal bahawa komen saya yang tidak sensitif itu menyinggung perasaan semua. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini di masa hadapan,” katanya.
Dia juga memberitahu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berkenaan siasatan kes terbabit.
Semalam, polis telah merakam percakapan Cecelia bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan mengemukakan 21 soalan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Cecelia mengaku memuat naik komen di ruangan Facebook pelawak, Harith Iskander.
Susulan itu, sebuah telefon bimbit dan kad sim turut dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 (c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini untuk arahan selanjutnya.
Sebelum ini, polis dilapor sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon, Harith Iskander, 54, berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ pada 18 Januari lalu.
Hantaran Harith didakwa membuka ruang kepada pihak lain untuk mempersenda Islam termasuk Cecelia Yap Song KL yang didakwa merujuk Nabi Muhammad SAW.
Dalam hantaran itu, Harith berkongsi gambar menu minuman “Ham Sap Kopi” dan menyatakan bahawa keimanannya “tergugat” selepas melihat perkataan “ham” dalam nama minuman tersebut.
Jenaka biadab itu dipercayai susulan isu mengenai sandwic “ham” yang dijual di Universiti Malaya (UM).
BACA JUGA Rayyan berpaut pada kayu sebelum hilang di hujung longkang
Â