Larangan jual arak di lokasi majoriti umat Islam: Apa kata MB Perak?

Kerajaan negeri Perak tiada halangan untuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian mengenai cadangan perluasan sekatan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi, Ipoh.

Kajian itu mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain Pematuhan Peraturan Minuman Beralkohol/ Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kajian yang dilaksanakan MBI akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.

“MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan.

“Perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan awam,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu lagi.

BACA JUGA Rupanya banyak lagi tuduhan Razman, kali ini Hannah bertegas

Â