MP PKR minta Hannah Yeoh maafkan Razman, dia kurang ilmu tentang orang lain

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung merangkap pengarah komunikasi PKR meminta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaafkan ketua pembangkang Perak Razman Zakaria sempena sambutan Tahun Baru Cina esok.

Awal pagi ini, Yeoh mengesahkan bahawa peguam beliau akan menghantar surat tuntutan ekoran fitnah yang dibuat oleh Razman dengan mengaitkannya dengan pengasas YTL Group.

Razman telah pun meminta maaf semalam.

“Walaupun saya pertahankan hak Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menuntut keadilan atas kesilapan petikan fakta bahawa dia adalah anak toloh korporat YTL, namun saya tidak bersetuju dengan tindakan Hannah yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

“Ini adalah kerana Razman telahpun meminta maaf kepada Hannah secara terbuka, dan mengakui bahawa percubaan untuk mengaitkan Hannah Yeoh dengan tokoh korporat atau syarikat YTL ini berlaku tanpa sengaja,” kata Lee.

Beliau turut memberikan nasihat kepada Razman dan Yeoh.

“Nasihat saya kepada Razman sebagai pemimpin politik adalah – semak fakta dan kenali budaya lain sebelum membuat kenyataan terbuka. Tambahan ini bukan kali pertama beliau dan pimpinan PAS lain yang membuat tuduhan fitnah terhadap pihak lain.

“Dan kepada Hannah, sekarang merupakan masa terbaik untuk membalas sangkaan jahat dengan hati budi yang menonjolkan nilai saling maaf-kemaafan dan kemuliaan yang sebenar, khususnya empena perayaan Tahun Baru Lunar ini.”

Lee turut menyatakan punca kesalahfahaman berlaku di pihak Razman.

“Bagi saya, salah faham sedemikian sebenarnya berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang budaya kaum lain di negara ini. Secara strukturnya, ianya berakar daripada alam kehidupan sesetengah rakyat Malaysia yang jarang bergaul dan melibatkan diri dalam kegiatan saling budaya. Kelompok ini termasuk semua: Cina, Melayu, India, Dayak & Kadazan.

“Kita harus sedar bahawa polemik yang cuba dicetuskan okeh Razman, jika tidak didepani dengan tepat dan konstruktif, bakal menjarakkan dan bukan mendekati sesama rakyat Malaysia.”

BACA JUGA: Rupanya banyak lagi tuduhan Razman, kali ini Hannah bertegas