Razman, perkukuh pemahaman asas atau terus jadi bahan jenaka rakyat

LEE CHEAN CHUNG

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria baru-baru ini salah mendakwa Menteri Belia dan Sukan,Hannah Yeoh, adalah anak kepada mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay, seorang tokoh perniagaan terkenal di Malaysia.

Walaupun beliau telah mengakui kesilapan,tetapi beliau cuba mengalihkan sebahagian tanggungjawab kepada Malaysiakini, kononnya laporan berita telah memanipulasi kenyataannya.

Saya berpendapat permohonan maaf beliau tidak ikhlas kerana tiada refleksi mendalam atas kesilapannya, sebaliknya hanya menyalahkan media.

Pertama sekali, ini bukan kali pertama pemimpin PAS tersilap dalam mengenal pasti individu berprofil tinggi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen PAS Kepala Batas, Siti Mastura, pernah secara terbuka mendakwa bahawa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mempunyai hubungan darah dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Akhirnya, tuduhan tidak berasas ini membawa kepada tindakan undang-undang, dan beliau kalah dalam kes tersebut.

“Jika seorang pemimpin politik tidak mampu untuk mengesahkan fakta asas, ini menunjukkan mereka kurang memahami sejarah negara dan latar belakang dunia perniagaan. Sebagai ADUN dan pemimpin peringkat negeri, mereka seharusnya mempunyai tahap pemahaman yang lebih tinggi dan mengelakkan penyebaran maklumat salah.”

Justeru, saya menggesa ahli-ahli politik PAS untuk memperkukuhkan pemahaman asas mereka bagi mengelakkan kesilapan serupa berulang di masa hadapan. Jika tidak, mereka hanya akan terus menjadi bahan jenaka rakyat.

Kedua, Razman cuba menyalahkan media dengan mendakwa bahawa kenyataan beliau dipotong hanya 10 saat daripada ceramah selama 30 minit. Namun, kenyataan itu adalah sesuatu yang beliau sendiri ucapkan secara terbuka.

Tanggungjawab media adalah untuk melaporkan kenyataan beliau dengan tepat, bukan untuk “mereka” cerita.

Kesilapan utama dalam isu ini bukanlah pada cara media melaporkan berita, tetapi pada sikap seorang ahli politik yang membuat kenyataan tanpa menyemak fakta terlebih dahulu.

Percubaan Razman untuk mengalihkan kesalahan kepada media tidak akan mengubah hakikat bahawa kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri.

Sebagai ahli politik, seseorang itu harus bertanggungjawab ke atas setiap kenyataan yang dibuat, bukannya cuba mengaburi kesilapan setelah ia didedahkan kepada umum.

Kami mendesak agar pemimpin PAS menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, demi menjaga kepercayaan rakyat dan integriti politik.

Jika seseorang pemimpin begitu mudah bercakap tanpa asas, bagaimana rakyat boleh mempercayai apa yang mereka katakan?


LEE CHEAN CHUNG ialah ahli parlimen Petaling Jaya dari PKR.

BACA JUGA: Rupanya banyak lagi tuduhan Razman, kali ini Hannah bertegas