Pas cemar nama baik Islam, sertai AMANAH yang lebih sederhana dan bebas fitnah
Oleh ABRAR SADIQ
Kebelakangan ini, tindakan segelintir pemimpin Pas yang melemparkan tuduhan palsu dan fitnah melulu telah mencemarkan nama baik Islam serta merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik yang sepatutnya menjadi medan mendidik dan menyatukan umat.

Sebagai contoh, baru-baru ini Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad telah diarahkan membayar saman fitnah sebanyak lebih RM800,000 atas tuduhan palsu yang mengaitkan seorang pemimpin DAP.
Keputusan mahkamah ini menunjukkan bagaimana budaya fitnah hanya membawa kepada kehancuran integriti.

Paling gempar sekarang adalah kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang telah mengeluarkan tuduhan melulu bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh adalah sebahagian daripada keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Tuduhan ini ternyata tidak berasas sama sekali dan menyimpang daripada fakta sebenar.
Deretan fitnah dan tuduhan serkap jarang ini adalah bukti bahawa sebahagian pemimpin Pas lebih mengutamakan agenda peribadi dan politik sempit berbanding kepentingan ummah.
Sebaliknya, perbuatan ini hanya menguntungkan pihak yang mereka sendiri sering serang, seperti DAP, dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperolehi pampasan besar hasil tindakan undang-undang.
Sebagai parti yang membawa prinsip sederhana (wasatiyyah), AMANAH menyeru semua ahli Pas yang kecewa dengan gejala fitnah dan politik tidak beretika untuk menyertai kami.

Di AMANAH, kami mengamalkan politik berteraskan akhlak mulia, kejujuran, dan kebenaran, sesuai dengan ajaran Islam yang sebenar.
Politik tidak harus menjadi alat untuk menjatuhkan lawan dengan fitnah, tetapi untuk membina masyarakat yang harmoni dan adil.
Akhir kata, marilah kita bersama membentuk budaya politik baharu yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Hentikan budaya fitnah dan caci maki, dan bina sebuah Malaysia yang bersatu padu berlandaskan nilai-nilai Islam yang Rahmatan Lil-‘Alamin.
*ABRAR SADIQ merupakan Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Pulau Pinang.
BACA JUGA Suami Pengerusi Miss Universe Malaysia ketuai Key Alliance
Â