Suami Pengerusi Miss Universe Malaysia ketuai Key Alliance
Suami kepada Datin Wira Livonia, yang merupakan Pengerusi Miss Universe Malaysia dilantik sebagai Pengerusi baharu Key Alliance Group Bhd.
Syarikat teknologi, komunikasi dan maklumat itu mengumumkan pelantikan Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Berdasarkan makluman itu, Farhash Wafa Salvador memiliki pengalaman lebih daripada 10 tahun dalam bidang perniagaan, perundingan serta nasihat merangkumi sektor pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.
“Sebagai bukti kepada bakat dan sumbangan berharga Farhash Wafa kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau pernah dinobatkan sebagai Usahawan Muda Terbaik 2020 oleh Anugerah Kepimpinan Perniagaan Global serta Usahawan Berdaya Usaha Terbaik 2019 dan Technopreneur Terbaik 2018 oleh Anugerah Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan (SEBA),” menurut Key Alliance.

Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dianugerahkan sebagai Usahawan Nasional Bumiputera Cemerlang Malaysia dalam Perniagaan pada 2018, Usahawan Muda Paling Berpengaruh ke-100 pada 2017 dan Anugerah Skim Permulaan Usahawan Bumiputera oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada 2016.
Mantan Pengerusi PKR Perak berkenaan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom; Ijazah Sarjana Sains dalam Kewangan dari Universiti Portsmouth, United Kingdom dan Sijil Eksekutif dalam Kepimpinan Awam dari Harvard Kennedy School, Universiti Harvard.
Selain itu, Farhash pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.
Farhash juga pernah menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Bluemont Group Limited (sekarang dikenali sebagai Southern Archipelago Limited) dari 2014 hingga 2016, sebuah syarikat tersenarai awam di papan utama Bursa Singapura.
Beliau memegang jawatan sebagai pengarah dalam syarikat awam dan penerbit tersenarai iaitu Apex Equity Holdings Bhd; Excel Force MSC Bhd; 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd; Berjaya Construction Bhd (tidak tersenarai) dan Bukit Kiara Resort Bhd (tidak tersenarai).
Ahli korporat berusia 42 tahun tersebut juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan.
BACA JUGA Kerap fitnah macam mana nak perpaduan? Ucapan raya Cina ‘calon PM’ ini hanya kena kecam
Â