Tular video kereta sengaja rempuh sekumpulan individu, ini respon polis

Sejak semalam tular satu video memaparkan dua kenderaan memandu secara melulu dan sengaja melanggar sekumpulan individu di hadapan sebuah kelab di Brickfields, di ibu negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood, dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios dilihat keluar secara tergesa-gesa dari sebuah bangunan tempat letak kereta sebelum merempuh kumpulan lelaki terbabit.

Bagaimanapun sehingga kini difahamkan kesemua mangsa masih belum membuat laporan polis.

“Insiden tersebut menyebabkan dua individu mengalami kecederaan dengan salah seorang daripada mangsa telah dihantar ke hospital menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes sedang dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau melaporkannya di mana-mana balai polis berdekatan.

BACA JUGA Bukan guru ‘sekolahkan’ cikgu pencen yang cuba main isu perkauman

Â