Bukan soal kera di hutan disusui, pendirian ‘Iron Lady Malaysia’ mendukacitakan
Usaha Kerajaan Malaysia untuk membantu membangunkan semula Gaza tetapi dikritik “Iron Lady Malaysia”, Tan Sri Rafidah Aziz disifatkan sebagai tidak wajar dan melampau.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, penglibatan negara ini membantu Palestin bukan baharu.
Sebaliknya,beliau berkata, usaha Malaysia membantu negara yang dizalimi rejim Zionis itu sudah dilakukan sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.
“Ini bukan soal kera di hutan disusui, anak dikendong mati kelaparan. Usaha Malaysia ini bukan baru.
“Ia sudah berjalan sejak zaman Tun M dan Pak Lah. Rafidah tahu kerana dia menteri ketika itu,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau bertanyakan sama ada pembangunan dalam negara dianaktirikan semasa bantuan kepada Palestin dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Lapan dekad Palestin dizalimi. Sekolah, hospital dan masjid dibangun dan diruntuh berulang kali oleh regim zionis. Maka apakah kali ini kita akan kata, lantak kamulah Palestin!
“Apabila Aceh dibadai tsunami semua negara kecil-besar, miskin-kaya termasuk Malaysia datang memberi bantuan.
“Itu namanya kemanusiaan. Kerajaan boleh sahaja minta korporat dan NGO turut bekerjasama,” katanya.
Terdahulu, Rafidah yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.
Mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata, terdapat isu mendesak dalam negara yang perlu diselesaikan walaupun usaha Kerajaan Malaysia itu wajar dipuji.
Kata Rafidah, antaranya, keadaan di sekolah-sekolah luar bandar yang menyedihkan, selain dengan kekurangan di hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadah.
Malah, katanya, kemusnahan berlaku di atas tanah yang dipertikaikan di mana hak milik belum dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Puad turut mempertikaikan persoalan yang dibangkitkan Rafidah ketika Gaza adalah sah milik rakyat Palestin berdasarkan sejarah, undang-undang antarabangsa, dan realiti politik.
“Rafidah kata nak membangunkan Gaza, bagaimana? Status tanah pun masih ada pertikaian.
“Kenapa naif? Tidakkah bumi Palestin diceroboh dan dirampas oleh zionis Israel?,” kata Puad lagi.
BACA JUGA Gempar Ahli Parlimen veteran ini ditahan atas tuduhan merogol