Rugi RM600 kena samun lelaki berparang di kedai makan

Seorang lelaki nyaris ditetak penjenayah berparang di sebuah kedai makan di Banting, Selangor kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Mangsa yang berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM600 selepas beg sandangnya dilarikan suspek ketika terdapat beberapa pelanggan di kedai tersebut.

Menerusi video rakaman CCTV yang tersebar, suspek dilihat mengangkat parang ke arah mangsa sebelum menyuruh menyerahkan beg sandang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Akmalrizal Radzi, siasatan mendapati suspek yang bersenjatakan parang telah mendekati mangsa yang sedang makan bersama rakannya.

“Mangsa kemudiannya telah menyerahkan beg miliknya itu sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kenderaan disyaki jenis Toyota Camry.

“Polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor Kosmo.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini di talian 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

BACA JUGA Ahli MCA Johor cetus isu kaum, agama antara parti komponen kerajaan