Pas ‘agak keliru’ selepas Majlis Ulama UMNO sebut ‘menunggang’
Pemimpin Pas mendakwa ‘agak keliru’ dengan penekanan ‘menunggang’ dalam kenyataan media Majlis Ulama UMNO semalam.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun memuji peringatan Majlis Ulama UMNO itu berhubung ulasan berkenaan isu berkaitan kepentingan Islam dan umatnya.
“Baguslah Majlis Ulama UMNO menegur menteri bukan Islam agar berhati-hati keluarkan kenyataan tentang Islam.
“Walaupun lewat, tetapi ok lah daripada tiada langsung.
“Cumanya agak keliru apabila Majlis ini menyatakan ia ‘bagi mengelakkan ditunggang oleh mana-mana pihak’.
“Isunya bukan mengelakkan ia ditunggang, isunya kenyataan itu sendiri merbahaya dan tidak perlu,” kata Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Majlis Ulama UMNO mengingatkan supaya pimpinan kerajaan terutama menteri bukan Islam untuk lebih berhati-hati dalam memberi ulasan berkenaan isu Islam.
Hal itu, bagi majlis tersebut penting bagi mengelak pihak tertentu “menunggang” dan memprovokasi sebagai ancaman terhadap Islam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menempelak Majlis Ulama UMNO dengan menganggap “nak jaga hati” memandangkan tidak menyebut secara khusus mana-mana menteri bukan yang Islam yang dimaksudkan.
“Sudahlah tidak berani menamakan mana satu menteri yang ditegur sehingga memalitkan semua Menteri dan Timbalan Menteri yang bukan Islam.
“Padahal, yang buat hal hanyalah tiga, empat orang. Nampak masih takut-takut.
“Barangkali gerun nak sentuh sang singa. Padahal, singa bukanlah mampu membunuh seekor lalat,” sindir Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
Sebelum ini, Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menyifatkan dirinya sebagai ‘singa’ dan tidak akan berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang digelar sebagai lalat berhubung isu sandwic ‘ham’.
Susulan itu juga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir turut mengeluarkan kenyataan mendakwa pimpinan UMNO tidak lebih daripada lalat dalam Kerajaan Perpaduan.
BACA JUGA Elak ditunggang sebagai ancaman terhadap Islam
Â