Pas bernafas dengan politik fitnah, apa kata Wanita Muda AMANAH?

Wanita Muda AMANAH (WARDA) amat kesal apabila Pas masih menggunakan fitnah sebagai alat politik serta lebih sibuk menyerang daripada membina.

Timbalan Ketuanya, Siti Nur Aishah Mohd Zain berkata, politik sebenar adalah politik nilai yang berlandaskan prinsip Islam iaitu keadilan, kasih sayang, dan kebenaran.

“WARDA menegaskan bahawa politik bukan hanya soal merebut kuasa, tetapi tentang membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan prinsip yang baik.

“Inilah politik rahmah yang digagaskan Islam selaras dengan pengutusan Rasulullah SAW,” katanya.

Menerusi kenyataan hari ini, Siti Nur Aishah berkata, AMANAH berpegang teguh kepada prinsip politik rahmah dengan tekad untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan memperjuangkan ajaran Islam demi memartabatkan negara.

“Di samping kita tegas pada dasar yang jelas dalam Islam, AMANAH juga menitikberatkan pendekatan dakwah dan maqasid syariah untuk melahirkan masyarakat madani yang sejahtera.

“Justeru, Islam mengajar umatnya untuk menjaga ketinggian adab dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang digelarkan sebagai Al-Amin,” ujarnya.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Pas Perak merangkap ADUN Gunong Semanggol, Razman Zakaria mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Bagaimanapun, selepas dihujani kecaman Razman yang juga bekas Penolong Kanan Pengarah Kastam mengakui terkhilaf dan menegaskan pemimpin DAP berkenaan tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL.

Mengulas lanjut, Siti Nur Aishah berkata, beliau percaya bahawa anak muda benci kepada budaya fitnah dan Pas harus berhenti dari politik adu-domba yang tidak berkesudahan.

Tegasnya, Islam tidak dipandang tinggi apabila perbuatan yang ditegah dalam agama dan bertentangan dengan norma manusia dihalalkan.

“Jika benar mahu menegakkan Islam, mengapa menggunakan cara yang jelas dilarang dalam agama?

“Adakah Pas sudah ketandusan idea dan produk untuk dijual kepada rakyat?” tempelaknya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan AMANAH menolak sekeras-kerasnya budaya politik fitnah, adu domba dan kebencian dalam politik.

“AMANAH berada di persada politik tanah air dengan berusaha memajukan rakyat melalui dasar yang membawa kebaikan.

“AMANAH akan terus mencari solusi untuk membela kebajikan rakyat dan mewujudkan sebuah negara yang sejahtera buat semua rakyat,” kata Siri Nur Aishah lagi.

BACA JUGA Pas ‘agak keliru’ selepas Majlis Ulama UMNO sebut ‘menunggang’

Â