Terkejut ada juga menyebelahi ugutan melampau ini terhadap anak pelawak

Mengejutkan apabila ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang menyebelahi ugutan bunuh dan rogol terhadap anak perempuan pelawak Harith Iskander.

Reaksi itu susulan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam terhadap Izzuddin Md Salim, 31 (gambar atas).

Tukang rumah tersebut diperintah menjalani hukuman penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda, selain hukuman penjara lima bulan dari tarikh tangkapan pada 24 Januari lalu.

Izzuddin yang belum berkahwin mengaku melakukan kesalahan itu dengan menghantar mesej WhatsApp ke telefon bimbit Jezamine Lim pada 23 Januari kira-kira jam 8.50 pagi.

Dia yang dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengugut dan mengaku mempermainkan perasaan Harith, 54.

“Saya hanya berniat untuk bermain dengan perasaan Harith sahaja. Saya minta maaf banyak-banyak, mohon kurangkan denda sebab ini pertama kali saya lakukan, saya janji tidak akan buat selama-lamanya,” katanya di mahkamah yang tidak diwakili peguam.

Ugutan itu dipercayai selepas Harith memuat naik hantaran di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ‘ham’.

‘Jenaka’ Harith susulan kontroversi mengenai status halal sandwic ‘ham and cheese’ itu memacu kemarahan orang ramai kerana dilihat telah membuka ruang mempersendakan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Mengulas sokongan segelintir pihak terhadap tertuduh, pempengaruh Najib Bakar menegaskan bahawa kebencian golongan terbabit terhadap anak selebriti berkenaan, Alessandra Jayne yang masih berumur 12 tahun tidak harus berlaku.

“Terkejut saya baca komen masyarakat yang menyebelahi ugutan bunuh dan rogol anak seorang pelawak.

“Ya, marah dan bencilah bapaknya, sebab itu hak kamu. Tapi anak dia tu tak berdosa, tak ada kena mengena.

“Sebab tu setiap apa yang saya boleh kata “pertelingkahan” dengan sesiapa di media sosial, saya takkan sesekali babitkan anak bini dia.

“Benda tu off limit.

“Ada rules, adab yang saya pegang, yang saya percaya, sebagai seorang Muslim,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

BACA JUGA Pas ‘agak keliru’ selepas Majlis Ulama UMNO sebut ‘menunggang’

Â