Didakwa leka tonton tarian singa jadi punca lelaki tampar isteri

Berang kerana leka menonton video tarian singa di media sosial, menjadi punca seorang suami menampar isterinya di sebuah pusat beli belah di Kota Warisan, Sepang minggu lalu.

Difahamkan, wanita itu didakwa leka menonton video tarian singa selepas membeli nasi ayam dari sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan pada 26 Januari lalu, menurut MalaysiaGazette.

Lelaki berusia 50-an yang berang itu kemudian menghampiri isterinya sebelum menampar mukanya.

Menurut laporan, lelaki berkenaan kini direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Telok Datok.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Pada 27 Januari lalu, aksi seorang lelaki yang menampar isterinya, secara tidak sengaja dirakam dalam satu video siaran langsung dan menjadi tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 29 saat itu, kelihatan wanita berkenaan sedang keluar dari pusat beli-belah sebelum suspek berjalan ke arahnya sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, suspek menampar muka dan mengatakan sesuatu sebelum kedua-duanya dilihat berjalan keluar dari premis berkenaan.

BACA JUGA ‘Something wrong somewhere’ bila khatib tak baca teks khutbah disediakan

Â