Kerajaan bakal iktiraf penghafaz Quran 30 juzuk SKM Tahap 5 setaraf diploma

Dalam usaha untuk mengiktiraf pelajar tahfiz setaraf Diploma, kerajaan bercadang memberi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 kepada penghafaz 30 juzuk al-Quran.

Manakala pelajar tahfiz yang menghafaz 20 juzuk al-Quran akan diberikan SKM Tahap 3 yang setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu sedang dilaksanakan Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET berkata bagaimanapun pengiktirafan sedemikian hanya akan diberikan kepada pelajar atau lepasan institusi tahfiz yang berdaftar.

Katanya, langkah itu dibuat bagi memantapkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi tahfiz bagi melahirkan hafiz profesional.

“Apabila saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya TVET-kan sekolah maahad tahfiz ini dengan bukan menjadikan TVET itu subjek atau mata pelajaran utama, tetapi pelajar maahad tahfiz ini diajar untuk belajar TVET.

“Apa yang sedang saya lakukan ini adalah untuk menukar ekosistem pendidikan negara agar lebih progresif,” katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan SM Imtiyaz Tuminah Hamidi.

Ahmad Zahid berkata ketika ini terdapat 1,199 maahad atau institusi tahfiz seluruh negara yang berdaftar, namun angka maahad tahfiz tidak berdaftar melebihi sekali ganda jumlah itu apabila terdapat 2,500 maahad tahfiz tidak berdaftar di seluruh negara ketika ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan 2,500 tahfiz yang tidak berdaftar ini mungkin kerana mereka takut tidak cukup syarat seperti tidak mematuhi piawaian bomba atau tiada kemudahan sepatutnya sebagai sebuah sekolah.

Justeru beliau menggesa pengendali maahad tahfiz mendaftarkan institusi mereka bagi melayakkan pelajar lepasan institusi terbabit menikmati manfaat itu.

Untuk rekod ketika ini terdapat enam universiti di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sudah menyatakan kesediaan mengiktiraf SKM bagi lepasan tahfiz terbabit iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Universiti Selangor (UniSEL).

“Ertinya untuk anak-anak yang ambil penghafazan al-Quran yang menjadi hufaz, jangan risau… Insya-Allah atuk dan pak cik ini selagi hidup akan mengusahakan supaya nasib dibela.

“Sebab, kita tidak mahu pelajar tahfiz yang pergi ke luar negara, lepas dapat ‘syahadah’ dan ijazah lalu balik maka mereka sekadar hendak jadi imam atau guru di maahad tahfiz.

“Kalau keluaran tahfiz dalam setahun 10,000, takkanlah ada 10,000 masjid baharu kena buat?,” katanya.

BACA JUGA Didakwa leka tonton tarian singa jadi punca lelaki tampar isteri

Â