Khatib didakwa sengaja tak baca khutbah terkini JAIPk, Hasnul lapor polis

Bekas Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat laporan polis berhubung dakwaan khatib sebuah masjid di Teluk Intan yang enggan membaca teks khutbah Jumaat disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, laporan polis itu dibuat setelah imam itu sendiri mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.

Kata Hasnul, perbuatan itu telah melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berada di bawah naungan baginda.

Laporan polis itu juga dibuat bagi meminta pihak polis melakukan siasatan, selain menuntut tindakan tegas daripada JAIPk berhubung isu ini.

“Jadi, ini adalah satu usaha saya untuk cuba memperbetulkan pentadbiran masjid-masjid yang agak sedikit longgar dan memberikan pandangan yang tidak bagus kepada pentadbir masjid yang terlibat,” katanya menurut Sinar Harian selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Hasnul mendakwa ada beberapa lagi kes sama berlaku di masjid yang lain dan menegaskan ia tidak seharusnya berlaku seperti itu.

“Saya sangat kecewa kerana acap kali kita diberitakan titah Tuanku Sultan bahawa masjid ini perlu dipelihara keharmoniannya dan masjid ini adalah tempat menimba ilmu, tempat untuk membentuk peribadi yang baik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta JAIPk menyiasat dakwaan seorang khatib yang dikatakan tidak membacakan teks Khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri itu.

BACA JUGA Kerajaan bakal iktiraf penghafaz Quran 30 juzuk SKM Tahap 5 setaraf diploma

Â