‘Yang keluar sekejap, keluar terus pun tak apa’, Zahid tuju kepada siapa?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang memilih keluar parti tidak perlu lagi kembali kepada parti itu.

Tetapi mereka yang masih kekal, perlu menunjukkan taat setia kepada parti tanpa memikirkan kepentingan peribadi.

“Matlamat saya sekarang ini untuk menyatupadukan semula ahli-ahli akar umbi. Mereka yang telah meninggalkan parti itu silakan terus (keluar). Yang keluar sekejap, keluar selama-lamanya pun tak apa.

“Jadi mana-mana yang ada itu harus taat setia kepada partinya. Kepentingan parti itu jangan lihat kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program audio siar TV3.

Beliau berkata, UMNO tidak memerlukan orang-orang seperti gunting dalam lipatan dan kaduk naik junjung.

Beliau juga lebih rela mempunyai ahli yang sedikit, kerana tidak guna jika mempunyai ahli paling ramai tetapi menjadi ‘buih di lautan’.

“Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung, saya fikir orang-orang itu tidak diperlukan. Biarlah sedikit sahaja ahli UMNO tetapi mereka yang taat setia kepada parti

“Jumlah yang banyak, tidak mahu jadi seperti buih di lautan. Tidak mahu. Biar sedikit. Kita tahu sekali air bah, sekali pantai berubah,” katanya lagi.

BACA JUGA Khatib didakwa sengaja tak baca khutbah terkini JAIPk, Hasnul lapor polis

Â