Akmal Nasir tunjuk tapak projek LRA Sungai Limau habis terbengkalai
Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Kedah yang sepatutnya siap tahun ini langsung tidak menunjukkan sebarang perkembangan sejak lawatan terakhir yang dilakukan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tahun lalu.
Awal Januari lepas, Akmal telah turun padang bagi melihat sendiri perkembangan di tapak projek LRA tersebut yang amat mengecewakannya.
Beliau memuat naik video kunjungannya ke tapak LRA Sungai Limau dan memperlihatkan keadaan tapak projek yang sudah naik lalang.
Kata Akmal, wang pembayar cukai rakyat Malaysia diguna untuk membantu rakyat Kedah, namun lain pula yang jadi apabila ia diuruskan kerajaan negeri.
“Bila projek diurus kerajaan negeri pula jadi begini. Wang pembayar cukai seluruh rakyat Malaysia diguna untuk projek yang sepatutnya bantu rakyat Kedah dapatkan bekalan air.
“Lebih bingung saya dan pasukan memikirkan langkah ke hadapan selepas projek ini terbengkalai,” katanya.
Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjanji untuk menyelesaikan projek LRA berkenaan pada Januari 2025.
Bagaimanapun ia terus mengalami kelewatan serius sejak Julai 2024.
Sanusi pada bulan lalu mengumumkan kontraktor tersebut ditamatkan kontraknya selepas gagal memenuhi lanjutan masa (EOT) terakhir yang tamat pada Januari.
Untuk rekod projek ini bermula pada 2021, dengan tujuan menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk sekitar.
Sehingga kini, lebih daripada 15 komponen loji belum siap dan ada yang langsung belum dimulakan.
BACA JUGA Terbukti fitnah projek Selangor, Chegubard mohon maaf pada anak syarikat MBI
Â