Terbukti fitnah projek Selangor, Chegubard mohon maaf pada anak syarikat MBI
Pemimpin Bersatu, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin memohon maaf secara terbuka di mahkamah hari ini kerana memfitnah anak syarikat Menteri Besar Selangor (MBI) berhubung projek Selangor Maritime Gateway.
Anak syarikat MBI Selangor, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) memaklumkan permohonan maaf terbuka itu dibuat di hadapan hakim sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian saman sivil syarikat itu terhadap Chegubard.
Menurut LLSB, saman difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam adalah susulan kenyataan fitnah ketua Bersatu Port Dickson itu terhadapnya.
“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian ini, Chegubard telah membuat permohonan maaf secara terbuka di mahkamah di hadapan hakim yang mengendalikan kes ini.
“Dia mengakui dakwaan yang dibuatnya itu tidak berasas serta menyatakan kekesalan terhadap kesan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan, tekanan dan mencemarkan reputasi LLSB, yang mana dia mengambil tanggungjawab penuh atas perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu lagi, Badrul juga telah menarik balik semua kenyataan yang dibuat berhubung perkara tersebut, dengan pengakuan kenyataan itu dibuatnya berdasarkan “maklumat yang tidak tepat dan tidak lengkap.”
“Chegubard turut memberi jaminan bahawa beliau akan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan dan penerbitan palsu atau berunsur fitnah pada masa akan datang berkaitan perkara ini terhadap LLSB dan Projek Selangor Maritime Gateway.
“Permohonan maaf ini dibuat tanpa sebarang syarat sebagai pengakuan tanggungjawab beliau serta komitmen untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan,” katanya.
BACA JUGA Rosmah Mansor masih isteri sah Najib Razak