Lepas berbalas laporan polis, Hasnul dedah pula audio perbualan imam masjid

Bekas Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendedahkan audio perbualan dengan seorang imam masjid di Teluk Intan yang didakwa mengelak dari membaca khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri.

Pendedahan audio itu dibuat selepas imam berkenaan, Mohamad Lotfi Samsudin membuat laporan polis terhadap Hasnul sebagai tindak balas kepada laporan dibuat bekas Adun itu.

Dalam perbualan itu, Mohamad Lotfi mengatakan tindakannya tidak membaca khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah dirujuk terlebih dahulu dengan Pegawai Tadbir Agama (PTA) negeri.

Pun begitu selepas Hasnul meminta kepastian adakah benar dia telah merujuk kepada PTA, imam berkenaan berkata dia hanya merujuk kepada pekeliling disediakan JAIPk.

“Ustaz Lotfi. Saya dedahkan sebahagian rakaman perbualan kita sebagai panduan peguam ustaz.

“Ustaz bagi tahu dah rujuk kepada PTA Hj Jamil. Tapi kemudian ustaz pusing kepada pegawai yang lain. Kemudian….tunggu episod seterusnya,” tulis Hasnul di Facebook.

Terdahulu, Mohamad Lotfi iaitu Khatib yang bertanggungjawab membaca khutbah Jumaat minggu lalu, telah membuat laporan polis terhadap Hasnul kerana memfitnahnya.

Isu khutbah Jumaat ini tercetus selepas teks khutbah asal yang menyentuh mengenai keburukan fitnah, tidak dibaca oleh khatib yang bertanggungjawab waktu itu.

Tajuk itu menjadi tumpuan kerana ianya hadir di tengah-tengah isu panas membabitkan pemimpin Pas yang didakwa memfitnah pemimpin DAP.

Media melaporkan, imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, dan bukan teks khutbah terkini.

Ia kemudian menimbulkan tanda tanya ramai yang sangsi mengapa khutbah mengenai keburukan fitnah tidak dibaca, mengundang banyak spekulasi bahawa ada niat lain yang disembunyi.

BACA JUGA Mahfuz persoal kebisuan mufti, asatizah yang tidak menegur amalan fitnah Pas

Â