Mahfuz persoal kebisuan mufti, asatizah yang tidak menegur amalan fitnah Pas

Naib presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyoal kebisuan golongan mufti dan asatizah yang tidak menegur amalan fitnah yang dipertonjolkan oleh pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria dan kepimpinan Pas termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Turut disoal apakah golongan agamawan takut dilabel sebagai golongan yang akan masuk neraka kerana tidak mendukung fahaman yang dibawa Pas.

“Keceluparan dan kebiadapan pemimpin seperti Razman ini kerana mereka membawa satu perjuangan yang kononnya memartabatkan Islam tetapi mereka bercakap itu tidak mencerminkan percakapan dari Quran, menunjukkan akhlak al-Quran,” kata beliau dalam satu siaran TikTok empat hari lalu.

“Agak mendukacitakan bagi kita apabila tiada mufti, asatizah, alim ulama yang memberikan teguran kepada Razman dan kepada pemimpin – pemimpin Pas, hatta termasuk presiden Pas itu sendiri yang sering mengeluarkan kenyataan kenyataan yang sangat tidak wajar terhadap persekitaran politik di dalam negara kita.

“Saya tidak tahu kenapa para mufti, para ahli Majlis Fatwa negara kita, asatizah- asatizah yang mendakwa diri mereka sebagai pendakwah bebas dalam negara kita tidak berani untuk memberikan teguran terhadap orang-orang seperti Razman dan pemimpin – pemimpin Pas yang lain.

“Mereka harus sedar bahawa kenyataan yang dibuat oleh Razman, Hadi Awang dan pemimpin Pas lain mencalarkan nama baik diri para alim ulama itu sendiri dan memberikan kesan tidak baik pada sudut pandangan orang bukan Islam terhadap ajaran Islam sendiri.

Dukung doktrin sama seperti Hadi, Razman?

“Saya tidak tahu sama ada para mufti, para ahli majlis fatwa, asatizah yang dikatakan menjadi pendakwah bebas ini juga mendukung doktrin sama seperti yang dibawa oleh Hadi atau doktrin yang dibawa oleh pemimpin lain seperti Razman seolah memfitnah itu sesuatu yang dibolehkan dan dianggap sebagai satu jihad.

“Saya tidak pasti sama ada mereka mendukung doktrin tersebut dan ini adalah sesuatu yang harus dilihat oleh masyarakat Islam dalam negara kita.

“Adakah para mufti tak berani nak tegur takut nanti dicop oleh pemimpin-pemimpin Pas bahawa mufti ini juga akan masuk neraka kerana tidak mendukung doktrin yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Pas

Razman baru-baru ini mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ialah anak ahli perniagaan Yeoh Tiong Lay dan kemudian memohon maaf.

Razman turut mendakwa bahawa sekiranya Pas tidak memerintah Perak maka Islam di Perak akan menjadi seperti Islam di Selatan Thai, India, Cordoba di Sepanyol.

Mahfuz berkata kenyataan Razman itu boleh memburukkan hubungan masyarakat Islam sesama sendiri dan juga dengan masyarakat bukan Islam dalam negara.

“Ia seolah kerajaan Perak pimpinan Menteri Besar Datuk Saraani seolah-olah tidak mempertahankan Islam. Ini satu fitnah yang sangat tidak wajar, yang perlu dibantah oleh umat Islam.

BACA JUGA: Selepas dakwaan lahir dari DAP, Pas sedia ‘melawan’ AMANAH

Â