Pas tunggu pertukaran kepimpinan dalam Umno untuk pinang semula
Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin meneruskan usaha meminang Umno meskipun usaha ini telah ditolak oleh presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Hashim yakin bahawa kerjasama dengan Umno akan berterusan memandangkan ia pernah dijayakan sebelum ini menerusi Muafakat Nasional.
“Dengan Umno ini dah pun kita rancang dan wujudkan perpaduan ummah termasuk ada piagamnya, tapi mungkin ada masalah sikit, tapi pintu kita tak pernah tutup.
“Kita pun tahu siapa yang menolak (kerjasama) itu sebelum ini, mungkin dengan pertukaran kepimpinan dalam Umno, mana tahu pintu akan terbuka luas balik, InsyaAllah.
“Apa-apa pun kita lihat nanti lepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya, lapor Scoop.
Hashim juga yakin bahawa partinya sanggup meneruskan kerjasama tanpa penyertaan Bersatu.
“Itu terpulang kepada mereka (Umno dan Bersatu), tapi bagi PAS, kita terbuka untuk perpaduan ini, kita sentiasa berdoa.
“Dengan kes-kes yang berlaku sekarang ini sama ada dalam dan luar negara mungkin membuka jalan untuk pimpinan-pimpinan memikirkan apa yang perlu kita beri keutamaan demi penyatuan ummah dan Islam,” katanya.
Mantan ketua penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Mohd Asri Mat Daud sebelum ini juga yakin Pas dan Umno mampu bersefahaman menerusi Muafakat Nasional (MN) menjelang pilihanraya umum ke-16.
MN dibentuk pada 14 Sept 2019.