AI di dalam sektor perikanan? Ini penjelasan LKIM
Sektor perikanan Malaysia telah mula mengorak langkah ke arah memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IOT) di dalam sektor tersebut.
“Kita telah memulakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu untuk membolehkan nelayan menggunakan AI dan IOT.
“Ia masih di peringkat kajian dan perbincangan,” kata pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pengenalan AI dalam sektor perikanan.
Faiz mengakui bahawa penggunaan teknologi dalam kalangan nelayan masih ketinggalan.
“Ia masih ketinggalan kerana peralatan nelayan masih konservatif. Kita ada kapal menggunakan pengesan ikan (remote sensing) tetapi ia tidak menggunakan AI.”
Bagaimanapun sektor akuakultur ada menggunakan AI.
“Ada kolam ternakan di Sebatu, Melaka yang menggunakan AI untuk mengukur kualiti air,” jelas beliau.
Faiz turut membincangkan keperluan nelayan muda untuk memastikan bilangan nelayan yang mencukupi untuk sektor perikanan.
“Ia merupakan sektor 3D,” kata beliau merujuk kepada sektor pekerjaan kotor, merbahaya dan sukar.
“Oleh itu LKIM menggalakkan bekas tentera menceburi sektor perikanan.
“Kita juga berusaha meningkatkan kualiti anak nelayan.
“Ini kerana kita bimbang berkenaan keperluan untuk mengimport lebih.”
Terdapat seramai 86,120 nelayan di seluruh Malaysia.
Faiz turut melahirkan kebimbangannya terhadap cabaran terhadap nelayan di peringkat hiliran.
Nelayan di peringkat hiliran perlu menggunakan ikan untuk menambahkan pendapatan, jelas beliau.
Pembangunan modal insan untuk sektor perikanan
Dalam pada itu, Faiz turut menyatakan usaha LKIM dalam membangunkan modal insan dalam kalangan anak nelayan.
Anak nelayan yang berminat dan berkemahiran dimasukkan ke dalam sektor TVET terutamanya dalam pembaikpulihan kapal laut.
“Nelayan merupakan komuniti terpencil. Anak-anak yang berminat kita masukkan ke dalam TVET. Sekarang ini kebanyakan pembaikpulih datang dari Negara Thai.”
LKIM ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang ditubuhkan sebagai agensi peneraju pembangunan industri perikanan Malaysia sejak 1971.
Objektif utama LKIM ialah memperkembang dan memajukan industri perikanan negara dan memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan tumpuan ke arah peningkatan pendapatan.
BACA JUGA: Usaha LKIM dalam memastikan bekalan ikan berterusan
Â