Isu beras tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini
Cadangan mengkaji semula dasar berkaitan penghasilan beras merupakan antara fokus persidangan Parlimen hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) bertanya kepada Perdana Menteri sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula dasar sedia ada berkaitan penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar bagi kegunaan rakyat, agar industri padi kekal utuh dan lestari selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Sementara itu, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dalam sesi yang sama bertanya kepada Perdana Menteri mengenai kedudukan Malaysia dalam perang perdagangan dunia susulan pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Bagi sesi Soal Jawab Lisan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan langkah untuk mengorientasikan semula dasar penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menggalakkan inovasi dalam agensi kerajaan dan swasta dengan sokongan universiti.
Shahar juga ingin mengetahui langkah penambahbaikan fungsi institusi penyelidikan kerajaan bagi memudahkan pemindahan teknologi global serta menyokong syarikat tempatan dalam memanfaatkan teknologi untuk inovasi.
Menteri Luar Negeri pula dijadualkan akan menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kerajaan menjelaskan bagaimana Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan mengimbangi hubungan rantau ini dengan BRICS, mengambil kira ancaman ekonomi oleh Amerika Syarikat.
Untuk rekod, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bermula semalam hingga 6 Mac depan.
Semalam, mesyuarat di Dewan Rakyat ini dimulakan dengan Istiadat Pembukaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyampaikan Titah Diraja.
BACA JUGA ‘Negeri ini orang nak ambik dah’, Kedah disindir umum cuti Thaipusam
Â