‘Negeri ini orang nak ambik dah’, Kedah disindir umum cuti Thaipusam
Walaupun Kedah sudah mengisytiharkan cuti peristiwa sempena Thaipusam sejak 2014 tetapi pengumuman kerajaan negeri dikuasai Pas itu tahun ini mengundang sindiran warganet.
Ada yang memetik sedutan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada kempen pilihan raya lalu yang kemudian tular Kembali sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
“Negeri ini orang nak ambik dah,” kata pengguna Facebook, Syafiq Haiqal mengulangi petikan ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.
Semalam, kerajaan Kedah menerusi surat rasminya kepada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan memaklumkan mengenai pemberian cuti peristiwa pada 11 Februari ini bersempena sambutan Thaipusam.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Dr. Nadzman Mustaffa dalam kenyataan itu menyatakan cuti peristiwa tersebut adalah selaras dengan Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).
Pada 22 Januari lalu, Sanusi memberitahu cuti tersebut diluluskan oleh kerajaan negeri bagi membolehkan penganut agama Hindu meraikannya.
Untuk rekod, Thaipusam yang dijadikan cuti peristiwa di Kedah pada 2014 diisytihar Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dengan perkenan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keputusan itu sebagai memenuhi janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2013 oleh Barisan Nasional (BN).
Pada masa ini, kaum India di Kedah membentuk kurang tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri Perikatan Nasional (PN) itu.
BACA JUGA Wanita berniqab selamba bawa RM2 juta beli kereta ‘recond’