Antara kejayaan politik Islam adalah dari permusuhan kepada persahabatan, kata pendakwah
Semua pihak diingatkan agar mengkaji balik kayu ukur berjaya atau tidak politik Islam kerana kejayaan politik Islam tidak diukur dengan banyak kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
Seorang pendakwah, Ustaz Zuliadin Abdullah berkata, kejayaan politik Islam diukur dari perubahan sistem tidak Islam kepada sistem Islam.
Dalam satu catatannya, Ustaz Zuliadin yang juga dikenali Zuliadin Rusila, sempena nama Kampung Rusila tempat Presiden Pas bertapak, Berjaya memegang jawatan penting dalam negara bukan juga kayu ukur kejayaan politik Islam.
“Kejayaan politik Islam tidak diukur dari banyak kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya atau berjaya memegang jawatan penting dalam negara atau negeri, mendapat gaji besar, kereta mewah dan bini berubah menjadi bini-bini.
“Ia diukur melalui perubahan sistem tidak Islam kepada sistem Islam, dari peraturan yang zalim kepada adil, daripada hidup penuh kebencian kepada hidup berkasih sayang.
“Daripada kesempitan hidup kepada keluasannya, daripada perkelahian kepada persahabatan, daripada permusuhan kepada persaudaraan, daripada kemiskinan kepada kemakmuran, daripada kemunduran kepada kemajuan,” katanya dalam satu catatan untuk para sahabat beliau.
Ustaz Zuliadin pernah menjadi Ketua Pemuda Pas cawangan Rusila, Marang sebelum mengundurkan diri dari parti itu.
Beliau juga merupakan seorang bekas imam di Masjid Rusila (Masjid Haji Hadi) sebelum mengundurkan diri kerana masalah kesihatan.
Bekas pelajar Maahad Darul Quran itu juga pernah belajar di Timur Tengah seperti Mesir dan Syria dan pernah belajar bersama-sama Datuk Dr Zulkifli Mohamad AlBakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan ketika di Syria.
Zuliadin kini dilihat antara pihak yang keras menentang pendekatan permusuhan yang diambil oleh Pas menyebabkan beliau dimusuhi oleh para jiran beliau sendiri di kubu Pas itu.
Dalam satu videonya, Ustaz Zuliadin berkata, beliau dahulu antara yang fanatik kepada Pas.
Namun, beliau meninggalkan parti itu kerana tidak setuju dengan pendekatan parti itu.
BACA JUGA Bas Madani mula beroperasi di Terengganu hasil usaha Anthony Loke
Â