Wanita berniqab selamba bawa RM2 juta beli kereta ‘recond’
Aksi seorang wanita berniqab yang dikatakan membawa wang tunai sebanyak RM2 juta untuk membeli kereta ‘recond’ menarik perhatian warganet.
Menerusi video tular, wanita berkenaan dilihat memasuki premis menjual kenderaan import terpakai itu diiringi beberapa pembantu lelaki yang kesemuanya berpelitup muka.
“Dia mai dengan RM2 juta. Terima kasih untuk support sokmo,” menurut kapsyen video yang dimuatnaik pengguna akaun TikTok, kingrecond.
Salah seorang pembantu terbabit menyorong sebuah bagasi bersaiz besar yang rupa-rupanya dipenuhi sejumlah wang tunai yang diikat dengan pita berwarna biru.
Wanita berpakaian serba hitam itu kemudian memerhati dua pembantunya mengira blok-blok duit itu sebelum dia akhirnya bergambar di hadapan sebuah kereta mewah berwarna putih.
Ada yang memberitahu sosok ‘misteri’ berkenaan membeli beberapa kereta ‘recond’ dengan wang sebanyak itu.
Rata-rata melontarkan rasa kagum kerana individu yang difahamkan usahawan dari Kelantan tersebut mempunyai wang sebanyak itu.
Dalam masa sama, ada juga mempersoal kewajaran membawa jutaan duit ketika urusan pada masa ini boleh sahaja dilakukan secara atas talian.
Namun, kalangan warganet berpendapat tindakan itu sebagai satu bentuk cara pemasaran peniaga berkenaan.
BACA JUGA Akmal Nasir tunjuk tapak projek LRA Sungai Limau habis terbengkalai