Pas patut ambil tindakan disiplin, bukan bela dan kutip derma untuk bantu pemfitnah

Pas sepatutnya mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahlinya yang melakukan fitnah tetapi sebaliknya yang berlaku, mereka dibela dan disanjung pula.

Menurut Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Izham Hashim, Islam dengan jelas mengajar bahawa, fitnah ini lebih merbahaya daripada membunuh sambil memetik hadis berkaitan fitnah ini.

Tetapi, katanya, Pas mengambil sikap menyokong apabila ahli atau pimpinan mereka membuat fitnah.

“Malah kutip duit lagi untuk bayar saman. Sedangkan mereka ini patut diambil tindakan disiplin kerana fitnah ini sangat dahsyat akibat dan kesannya sampai Islam melarang.

“Tetapi bukan setakat mereka tidak mengambil tindakan disiplin kepada ahli dan pimpinan mereka yang membuat fitnah ini walaupun terbukti di mahkamah, mereka menyokongnnya,” kata Bendahari Amanah Nasional itu.

Izham mengulas tindakan Pas mengutip derma untuk membantu ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad yang diarahkan Mahkamah membayar RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP selepas terbukti bersalah membuat fitnah.

Arahan kutipan derma itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada ahli dan pemimpin Pas agar menderma untuk membayar saman itu.

Baru-baru ini Siti Mastura telah menyelesaikan bayaran saman fitnah berjumlah RM830,034.75 kepada tiga pemimpin DAP.

Bayaran itu dibuat ke akaun SN Nair & Partners, firma guaman yang mewakili veteran DAP Lim Kit Siang, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Pembayaran ganti rugi dan kos guaman itu dibuat melalui penyerahan cek kepada Datuk Sankara Nair, peguam bagi ketiga-tiga pemimpin DAP itu.

BACA JUGA MP Pas sembang pasal tungku kawah

Â