Perubahan dasar Trump: Ini pendirian PM Anwar

Malaysia tidak boleh mengambil tindakan terlalu pantas dalam memberi reaksi kepada ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berlaku di peringkat global, termasuk perubahan dasar yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri berkata, dasar boleh berubah dalam masa yang singkat, seperti pengumuman Trump semalam, yang menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada, hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia mengambil tindakan bebas dan berkecuali melalui dasar yang disepakati ASEAN yang membuka jaringan dengan semua negara.

“Ada perubahan pagi semalam, bila beliau tidak akan teruskan dan memberi penangguhan pelaksanaan tarif untuk Kanada dan Mexico.

“Jadi, dalam tempoh sebulan ini, perubahan dasar dijangka berlaku atau dikekalkan.

“Apa yang kita lakukan selama ini adalah, pertama, dasar yang bebas dan berkecuali tetapi secara agresif membuka jaringan degan negara lain, umpamanya Afrika, melalui Afrika Selatan, Euthopia, Amerika Latin, Brazil dan Peru, selain membuka pendekatan lebih baik dengan China dan Russia.

“Dengan jaringan ini, kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baharu dan membuka peluang meningkatkan eksport ke negara lain,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bertanyakan mengenai kedudukan Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan daripada pelaksanaan tarif oleh Trump dan sama ada Malaysia akan berdiri bersama negara China, Kanada dan Mexico.

PMX turut diminta menjelaskan mengenai langkah kewangan dan fiskal untuk melindungi ekonomi dan rakyat Malaysia daripada kesan tarif berkenaan.

Trump mengundang ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi antarabangsa apabila mengumumkan penangguhan tarif ke atas Mexico dan Kanada hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.

Tarif yang dicadangkan diumumkan Trump pada 1 Februari lalu, termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Mexico dan kebanyakan import dari Kanada (dengan pengecualian tarif 10 peratus ke atas produk tenaga), serta tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas barangan China.

BACA JUGA Isu beras tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini