PN membisu seribu bahasa setelah Gerakan persoal hak istimewa orang Melayu

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menempelak Perikatan Nasional (PN) yang membisu seribu bahasa setelah timbalan presiden GerakanOh Tong Keong mengkritik parti DAP dengan tuduhan tidak mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu.

“Apakah pula pendirian rakan-rakan Gerakan dalam Perikatan Nasional iaitu PAS dan Bersatu mengenai kenyataan Oh ini? Pemimpin-pemimpin PAS dan Bersatu, yang kononnya mempertahankan hak Melayu dan orang Islam, nampak gayanya diam membisu sahaja setakat ini seperti tiada reaksi. Adakah mereka juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Gerakan ini?

“Perikatan Nasional jelas mengamalkan dasar pecah dan perintah yang mana PAS dan Bersatu membakar sentimen masyarakat Melayu manakala Gerakan pula membakar sentimen masyarakat Cina. Politik perpecahan yang diamalkan oleh Perikatan Nasional ini memberi kesan negatif terhadap penyatuan masyarakat Malaysia dan pembinaan negara bangsa.

“Perikatan Nasional diseru untuk meninggalkan politik lapuk dan toksik ini dan bersama-sama dengan parti-parti dalam Kerajaan Madani membina semula negara.”

Kritikan oleh Oh dibuat susulan pendedahan Timbalan Perdana Menteri merangkap presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sejak penubuhan kerajaan Madani.

Pendirian DAP jelas, Gerakan hanya bakar sentimen

“Ini jelas membuktikan bahawa DAP menjunjung perkara-perkara asas Perlembagaan, termasuklah Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pada masa yang sama, DAP juga sentiasa di hadapan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum dan komuniti lain seperti juga yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini telah berkali-kali dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin DAP, dan dizahirkan juga dalam ketetapan-ketetapan dalam persidangan parti.

“Contohnya, ketetapan dalam Persidangan Parti DAP 2023 telah mengukuhkan komitmen parti seperti dinyatakan dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu.

“Maka jelas bahawa pendirian DAP tentang perkara-perkara asas dalam Perlembagaan ini tidak wajar dipersoalkan lagi.”

Syahredzan yang juga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP turut menyatakan bahawa kenyataan Oh yang dibuat dalam bahasa Cina berniat untuk membakar sentimen orang Cina.

BACA JUGA: Usaha LKIM dalam memastikan bekalan ikan berterusan

Â