Gaji minimum RM1,700 redakan tekanan kewangan, lonjak lagi ekonomi negara – Pakar

Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,700 yang berkuatkuasa 1 Februari lepas dijangka akan melonjakkan ekonomi negara seiring dengan peningkatan kuasa beli rakyat.

Pakar Ekonomi dan Kewangan, Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kenaikan gaji minimum ini akan merangsang perbelanjaan pengguna, sekaligus memberi kesan positif kepada perniagaan tempatan dan pertumbuhan ekonomi.

“Lebih daripada itu, gaji yang lebih tinggi membolehkan pekerja melabur dalam pendidikan, kemahiran, dan kesihatan, yang memberi impak jangka panjang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Selain itu, kenaikan gaji minimum turut membantu mengurangkan jurang kemiskinan dengan mengangkat golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Pada masa sama, Nik Maheran yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (AMK) itu berkata, jika diuruskan dengan baik, peningkatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja tetapi juga menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Beliau melihat, secara positifnya pekerja selepas ini akan menikmati peningkatan kualiti hidup, mampu menampung keperluan asas yang lebih baik, sekaligus mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Selain itu, pendapatan yang lebih tinggi boleh meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja.

“Seterusnya dapat membantu majikan dalam mengekalkan tenaga kerja serta mengurangkan kadar keluar masuk pekerja, menjimatkan kos latihan dan pengambilan pekerja baharu,” ujarnya.

Seramai 4.37 juta pekerja bakal menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi minggu lalu.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, pelaksanaan Perintah Gaji Minimum itu adalah satu daripada pendekatan besar kementerian dalam meningkatkan pendapatan pekerja.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum itu sebagai langkah penstrukturan ekonomi dan membolehkan rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

BACA JUGA AMANAH ajak Pas tolak politik fitnah, mari berlumba membuat kebaikan

Â