Gerakan-PN tidak bertanggungjawab, DAP matang hormati kontrak sosial negara
Pemuda AMANAH Nasional mengecam keras kenyataan Timbalan Presiden Gerakan (PN), Oh Tong Keong berkaitan kedudukan istimewa Bumiputera Melayu Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketuanya, Senator Hasbie Muda berkata, kedudukan istimewa Bumiputera Melayu Islam adalah ketetapan Perlembagaan yang harus dihormati oleh semua pihak, termasuk Gerakan sendiri.
“Tindakannya yang mengkritik DAP kerana tidak bersuara mempertikaikan kedudukan istimewa Bumiputera Melayu Islam hanya kerana menerima realiti ini menunjukkan sikap hipokrit dan tidak bertanggungjawab.
“DAP sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan kematangan politik dengan menghormati kontrak sosial negara, dan ia bukan satu kesalahan,” tegas Hasbie dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tong Keong mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar-dasar yang dianggapnya mengutamakan kaum Melayu secara terbuka.
Kritikan itu muncul apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Tong Keong turut mengecam DAP kerana berdiam diri mengenai dasar ‘Islamisasi’ yang bercanggah dengan imej parti tersebut sebelum ini.
Mengulas lanjut, Hasbie berkata, tindakan pemimpin PN yang cuba memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik amat membimbangkan serta berpotensi menggugat kestabilan negara.
“Malaysia tidak boleh kembali ke era politik perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Tambahnya, Pemuda AMANAH tidak akan berdiam diri terhadap politik kebencian seperti itu.
“Justeru, kami akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Oh Tong Keong yang berbaur hasutan serta boleh menggugat keharmonian negara,” kata Hasbie lagi.
BACA JUGA Dah terang pembersihan etnik, sebelah Trump pun tersenyum jahat
Â