Ini sebenarnya status tiga selebriti yang dipanggil SPRM esok
Tiga selebriti akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bagi membantu siasatan membabitkan sindiket syarikat perunding kewangan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mereka diarah hadir jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi memberi keterangan.
“Kami memanggil mereka untuk membantu siasatan berhubung Ops Sky.
“Ini tak bermaksud mereka adalah suspek.
“Mereka hanya dipanggil untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya, dipetik BH.
Terdahulu, aktor Datuk Jalaluddin Hassan, 71, yang terlibat sebagai duta dengan syarikat tersebut dilapor bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Seorang lagi duta syarikat pengurusan kewangan terbabit ialah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
Sementara itu, penyanyi Ziana Zain mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit.
Bulan lalu, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank melibatkan beberapa institusi kewangan.
Pegawai institusi perbankan terbabit dilaporkan membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
BACA JUGA Dah terang pembersihan etnik, sebelah Trump pun tersenyum jahat
Â