Isu projek RM4 juta DBKL: Ini penjelasan SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu bertindak terburu-buru dalam isu pemberian projek bernilai RM4 juta berkaitan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ia membabitkan dakwaan yang dibuat melalui media sosial.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan melakukan analisis menyeluruh terhadap dokumen yang diberikan DBKL untuk mengesahkan dakwaan tersebut terlebih dahulu.
“DBKL akan menjalankan siasatan mereka mengenai isu ini, sementara penyiasat saya meneliti dokumen-dokumen tersebut,” katanya, dipetik BH.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk mengatakan SPRM sudah membuka kertas siasatan mengenai perkara terbabit.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif hari ini dan dan beliau bersetuju untuk berkongsi dokumen berkaitan isu ini dengan kami.
“Bagaimanapun, biar penyiasat saya menganalisis dokumen terbabit untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesalahan yang memerlukan kami membuka kertas siasatan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata siasatan perolehan projek DBKL sedang dijalankan pihak audit dalaman DBKL tanpa memberi memberi tempoh untuk siasatan itu disiapkan.
Zaliha berkata, siasatan itu akan membabitkan semua pihak termasuk memanggil Ahli Lembaga Penasihat, Datuk Afdlin Shauki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perolehan projek itu untuk memberi keterangan.
BACA JUGA Wanita berniqab selamba bawa RM2 juta beli kereta ‘recond’
Â