Tuduh PM derhaka satu fitnah jahat – Backbenchers selar pembangkang

Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club-BBC) menempelak tuduhan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat semalam yang menuduh Perdana Menteri derhaka terhadap institusi diraja berkaitan isu Titah Adendum.

Kelab itu dalam satu kenyataan menegaskan, tuduhan pembangkang adalah fitnah jahat kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengesahkan titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya.

Malah urusan berkaitan Titah Adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara dan bukan di bawah tanggungjawab Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Kami, Kelab Penyokong Kerajaan ingin menegaskan bahawa tuduhan yang mendakwa Perdana Menteri menderhaka terhadap institusi diraja, adalah satu fitnah jahat dan tidak berasas.

“Tiada unsur penderhakaan oleh Perdana Menteri. Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya.

Kelab itu menambah, tuduhan pembangkang adalah taktik lama untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.

Ini katanya, adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Kelab Penyokong Kerajaan Madani berkata lagi, fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Selain itu, dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.

“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur, dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti,” ujar Kelab itu lagi.

BACA JUGA Pakar yakin gaji baharu tingkat produktiviti pekerja, bantu majikan kembangkan syarikat

Â