Pakar yakin gaji baharu tingkat produktiviti pekerja, bantu majikan kembangkan syarikat
Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Effandi Yusoff yakin Perintah Gaji Minimum RM1,700 akan membantu sesebuah syarikat lebih berkembang biarpun pada awalnya ia agak sedikit beban kepada majikan.
Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, untuk jangka masa panjang, majikan dapat mengurangkan kadar pengambilan tenaga kerja baharu dan mengurangkan kos latihan kerana pekerja lebih selesa dan lebih taat dengan syarikat.
“Jika dibahaskan dari sudut majikan, sememangnya ada faktor negatif kepada majikan seperti peningkatan kos operasi dan sebagainya.
“Namun kita perlu melihat dari sudut positif dalam jangka masa panjang. Meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja. Tinggi motivasi dan produktiviti, syarikat akan lebih berjaya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Dalam konteks yang lebih besar, Mohd Effandi berkata, usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 sebenarnya akan merancakkan ekonomi lokal.
Kata beliau, peningkatan kuasa membeli dalam kalangan rakyat akan menyaksikan kitaran tunai di pasaran yang lebih rancak, selain syarikat-syarikat mampu membuat pelaburan ke atas perniagaan mereka.
“Rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh diguna (disposable income) untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Namun kerajaan perlu memantau kerana dikhuatiri kadar inflasi akan meningkat,” ujarnya.
Selain itu Mohd Effandi berpendapat, sekiranya kadar faedah diturunkan, maka perniagaan akan lebih berkembang dan akan lebih maju pada masa akan datang.
Seiring dengan itu, kompleksiti ekonomi juga akan meningkat iaitu wujud kepelbagaian sektor perniagaan di dalam negara.
“Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai kepelbagaian sektor ekonomi dalam negara. ini akan secara langsung mewujudkan lagi peluang pekerjaan yang baharu untuk rakyat.
“Dan sekiranya dilihat secara kolektif, secara keseluruhannya Malaysia dapat mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
BACA JUGA Gaji minimum RM1,700 redakan tekanan kewangan, lonjak lagi ekonomi negara – Pakar
BACA JUGA Pemuda Pas cakap tentang pengangkutan awam tapi stesen bas KB pun tak siap
Â