Pemuda AMANAH ajak rakyat himpun ramai-ramai protes rancangan Trump

Exco Pemuda AMANAH Fadhli Umar Aminolhuda mengajak anak muda dan rakyat Malaysia untuk menyertai satu himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur dalam masa terdekat sebagai protes kepada pengumuman Presiden AS Donald Trump berhubung Gaza.

Trump telah mengumumkan rancangan pemindaan paksa rakyat Palestin di Gaza.

“Saya mangajak dan menyeru seluruh anak muda, mahasiswa dan semua rakyat Malaysia untuk ayuh kita menggembleng tenaga dan bersatu tanpa mengira jalur agama, bangsa mahupun parti politik untuk turun menyatakan kutukan dan kecaman terhadap kenyataan Presiden Trump dengan mengadakan satu himpunan besar-besaran di ibu negara dalam masa terdekat!

“Gaza adalah milik rakyat Palestin, dan kami tidak akan berdiam diri!” kata Fadhli dalam satu kenyataan media.

Fadhli, bagaimanapun tidak menyatakan bila himpunan besar-besaran akan dibuat.

Beliau turut menyifatkan rancangan Trump ini sebagai projek pembersihan etnik rakyat Palestin secara terang-terangan.

“Trump dan Netanyahu dalam satu sidang media bersama semalam dengan angkuh dan secara terang-terangan mengumumkan hasrat untuk “mengambil alih Gaza” dan untuk Rakyat Palestin di Gaza keluar dari kawasan Gaza.

“Tindakan ini bukan sekadar provokasi, tetapi satu pengisytiharan projek “permbersihan etnik” terhadap rakyat Palestin secara terang-terangan.

“Kenyataan Trump ini adalah satu penghinaan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin yang bertumpah-darah mempertahankan tanah air mereka.

“Kenyataan Trump ini juga bukan sahaja penghinaan kepada rakyat di Gaza, tetapi juga pencinta keamanan seluruh dunia yang bersema berdiri teguh dengan perjuangan pembebasan disana.

“Gaza adalah hak mutlak rakyat Palestin, dan sebarang bentuk campur tangan asing, apatah lagi dari kuasa yang jelas memihak kepada rejim Zionis, adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan.”

Wisma Putra dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyatakan pendirian Malaysia yang menentang rancangan Trump pagi ini.

Â