Pemuda AMANAH sambut kunjungan yayasan wakaf Turki bincang bangunkan semula Gaza
Pemuda AMANAH Nasional telah menerima kunjungan dari sebuah yayasan wakaf daripada Turki iaitu Sosial Solidarity Endowement (Toplum Vakfi) untuk berbincang mengenai usaha membangunkan semula Gaza.
Pertemuan kedua-duanya diadakan 5 Februari lalu yang disambut Naib Ketua Pemudanya, Ammar Atan dan Pengarah Komunikasi Asim Abdullah bersama dua lagi Exco Pemuda iaitu Muaz Abdullah dan Nazhan Fauzi sebagai Setiausaha Kerja.
“Dalam kerangka menyahut seruan Perdana Menteri, Pemuda AMANAH juga tidak mahu ketinggalan dalam usaha yang baik ini.
“Perbincangan kerjasama dengan Yayasan Waqaf Sosial Solidariti Endowement ini membincangkan tentang pembangunan pendidikan, kesihatan dan juga peralatan untuk membina semula Gaza,” kata Pemuda AMANAH di Facebook.
Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia yang akan terlibat dalam usaha membangunkan semula Gaza setelah 15 bulan dibedil Israel.
Malaysia juga bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia yang akan dilancarkan selepas bulan Ramadan.
Projek berimpak tinggi ini berada di bawah naungan Perdana Menteri selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
BACA JUGA Malaysia negara ASEAN pertama bakal bangunkan Bandar Wakaf di Gaza
BACA JUGA Sewa bazar Ramadan di KL pun RM500 je, hebat lagi Kelantan RM1,300