Sewa bazar Ramadan di KL pun RM500 je, hebat lagi Kelantan RM1,300

Seorang penduduk Kelantan mengucapkan “terima kasih” kepada kerajaan negeri yang didakwa menaikkan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu daripada RM500 kepada RM1,350 .

Dalam satu perkongsian di akaun TikTok Alwani Sofia, individu itu menyindir kerajaan, menyifatkan kerajaan negeri amat prihatin dengan situasi kewangan rakyat Kelantan.

Dia juga menyertakan tangkap layar notis kenaikan harga sewa tapak di stadium berkenaan.

“Alhamdulillah inilah yang kita mahukan. Kerajaan yang prihatin dengan situasi kewangan rakyat negeri Kelantan sekarang ni.

“Mungkin kerajaan tahu rakyat ni kaya raya dan mustahillah kalau harga tapak dah naik, takkanlah harga makanan nak turun.

“Jadi saya rasa sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan kerana peka dengan situasi kewangan rakyat negeri Kelate,” katanya sinis.

Jika dikira-kira, kerajaan negeri mengenakan sewa tapak RM45 sehari, jauh berbeza dengan harga sewa baharu di Kuala Lumpur yang hanya RM16 sehari.

Untuk rekod, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengendalikan sepenuhnya permohonan lesen dan penyelenggaraan tapak bazar Ramadan di ibu negara mulai tahun ini bagi memastikan bayaran sewa gerai berpatutan dan pengurusan yang lebih baik.

DBKL kini menetapkan kadar sewaan hanya RM500 sahaja untuk keseluruhan tempoh bazar Ramadan, bersamaan RM16 sehari.

Sementara itu wanita berkenaan berkata, inilah hadiah yang terbesar yang rakyat dapat setelah hampir seluruh kerusi DUN Kelantan dimenangi kerajaan negeri.

“Sewa bazar tapak di DBKL pun RM500 je. Hilir Kelantan lagi lah daripada Kuala Lumpur ni. Tak usah pergi Kuala Lumpur lah. Kelate pun hilir belana dah loh ni. Nak bazar ke nak Islam?,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Tengku Zafrul permudahkan walaun faham apa yang kita dapat dari pelaburan

Â