Pula dah…Caprice dedah ‘influencer’ hilang ketika buat paranormal sebenarnya palsu

Penyanyi rap yang juga aktivis, Caprice mendakwa insiden kehilangan seorang pempengaruh dikenali sebagai Eyka di hutan di Bandung, Indonesia adalah palsu dan rekaan semata-mata.

Caprice bukan sekadar bercakap ‘kosong’ sebaliknya turut menujukkan bukti bahawa kehilangan gadis berusia 22 tahun terbabit selama tiga hari di dalam hutan itu tidak berlaku.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Instagram, Caprice berkongsikan tangkap layar memaparkan perbualannya bersama pihak pengurusan ‘talent’ yang tampil dalam penggambaran insiden itu.

Dalam perbualan tersebut, pihak pengurusan berkenaan mendedahkan bahawa talent mereka sudah dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam penciptaan kandungan sedemikian namun peringatan itu tidak diendahkan.

Namun perkara yang lebih mengejutkan adalah beberapa ‘talent’ di bawah pihak pengurusan terbabit bekerja tanpa menerima sebarang bayaran hasil.

“Sah (kejadian kehilangan) itu palsu. Pihak agensi yang menguruskan beberapa talent dalam video itu mengesahkan bahawa ia palsu. Sudahlah mereka tak dapat bayar.

“Betullah orang lama selalu kata. Bodoh itu percuma. Tetapi janganlah borong semua,” kata Caprice menerusi ruangan kapsyen perkongsian dalam bentuk video untuk mengulas kejadian itu.

Sebelum ini, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti paranormal.

Ramai pengguna media sosial bagaimanapun sangsi dengan kejadian tersebut sama ada ia sekadar lakonan semata-mata untuk melariskan kandungan mereka atau benar-benar berlaku.

BACA JUGA Penjawat awam didakwa dalang terima rasuah RM1 juta dapatkan kawasan balak