Trump bagaikan pemaju hartanah genosid
Seorang pemimpin DAP menyifatkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai pemaju hartanah genosid.
Ahli Biro Antarabangsa DAP Howard Lee turut mengingatkan Trump bahawa Gaza bukan portfolio hartanah.
“Saya amat marah dan jijik dengan cadangan kejam yang dikemukakan oleh Presiden Trump bahawa Amerika Syarikat harus “mengambil alih” Semenanjung Gaza.
“Cadangan ini adalah tidak berperikemanusiaan, tidak demokratik, dan tidak bertamadun — suatu idea yang tiada sebarang duluan dalam kalangan pemimpin mana-mana kuasa besar dalam sejarah moden,” kata Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.
“Adalah tidak masuk akal bahawa seorang pemimpin kuasa besar global menjalankan dasar luar negara dan kepimpinan antarabangsa seolah-olah beliau adalah seorang pemaju hartanah, menilai tanah hanya berdasarkan potensi keuntungannya dan bukannya untuk melindungi nyawa manusia serta menegakkan keadilan.
“Pemikiran yang cuai dan berasaskan keuntungan sebegini bukan sahaja mengurangkan nilai nyawa manusia kepada sekadar aset, malah berisiko menghancurkan kredibiliti Amerika di pentas dunia.
“Apabila sesebuah negara memperlakukan geopolitik seperti portfolio hartanah, ia kehilangan kewibawaan moral yang menjadi tunjang kepada pengaruh diplomatiknya— satu duluan berbahaya yang boleh memberi kesempatan kepada musuh untuk kukuh, melemahkan sebarang pakatan yang sudah ada, malah mengganggu dan menggoncang kestabilan dunia.
Baru-baru ini Trump mengumumkan rancangannya untuk mengambil alih Gaza dengan mengusir penduduknya secara paksa sebelum dibangunkan.
Malaysia dan kebanyakan negara lain telah pun menyatakan pendirian menentang rancangan Trump.
BACA JUGA: Pemuda AMANAH sambut kunjungan yayasan wakaf Turki bincang bangunkan semula Gaza