Apabila sekutu Trump buat bantahan berjemaah terhadap dasar barunya, malunya rakyat AS
Oleh NASAIE ISMAIL
Genap 21 hari Trump menjadi Presiden baru Amerika Syarikat (AS), pelbagai polisi atau dekri baru beliau menampakkan kegagalan satu persatu, berbeza dengan ucapan dan ketegasan beliau sebelum ini yang sentiasa dengan nada ‘confident’ seolah-olah dia boleh buat apa sahaja dan tiada siapa yang boleh menghalangnya.
Fokus utama kepada ‘Perang Dagang 2.0’ Trump dan pembelaan terhadap sekutunya Israel dengan cubaan untuk menghalau penduduk Gaza.
Selain China yang dikenakan kenaikan tarif 10 peratus, dua negara jiran dan rakan dagang terbesarnya iaitu Kanada dan Mexico turut sama dikenakan tarif baru sebanyak 25 peratus. Lebih tinggi daripada China.
Hinanya Kanada dan Mexico dibuat oleh Trump sehingga berulangkali dia menyebut bahawa Kanada hanya layak menjadi negeri ke-51 milik AS dan bukan sebuah negara.
Orang kanan barunya bilionaire Tesla Elon Mask juga menggelar Perdana Menteri Kanada sebagai Mr Governor iaitu jawatan setaraf ketua-ketua negeri lain di AS.

Kata Trump, AS berhabis sejumlah besar wang untuk seolah-olah ‘subsidi’ Kanada dan Mexico dan ia suatu kerugian yang mesti dielakkan.
Bahkan, kedua-dua negara menjadi sumber aktiviti haram rentas sempadan terutamanya imigran yang masuk secara haram ke AS dan penyeludupan dadah.
Ya. Trump buktikan ugutannya dengan memutuskan dikri Presiden mengenakan 25 tarif kepada barangan diimport dari Kanada dan Mexico.
Kedua-dua negara yang pada awalnya cuba berunding, tetapi tidak dilayan, terus mengumumkan tindak balas dengan mengenakan kenaikan tarif terhadap barangan dan perkhidmatan AS yang dieksport ke negara mereka dengan kenaikan sebanyak 25 peratus juga.
Kanada saja mengenakan kenaikan tersebut terhadap barangan AS dengan nilai sekitar USD155 bilion.
Tiba-tiba hanya dua hingga tiga hari, Trump terus mengumumkan ‘penghentian’ sementara selama 30 hari kenaikan tarif terhadap kedua-dua negara Kanada dan Mexico.
Kononnya, selepas menghubungi kedua-dua pemimpin negara tersebut dan telah mencapai kata sepakat dalam banyak perkara.
Untuk Kanada, Trump mengatakan bahawa Perdana Menteri Justin Trudeau telah bersetuju meluluskan 1.3 bilion dollar untuk meningkatkan ‘border security’ di sepanjang sempadan AS-Kanada. Hal yang sama terjadi dengan Mexico.
Atas alasan itu, maka Trump umumkan kenaikan tarif dihentikan selama 30 hari. Kononnya, seolah-olah Kanada dan Mexico tunduk kepadanya.
Benarkah dua negara ini tunduk? Atau Trump yang ‘terciduk’? Pinjam bahasa budak budak sekarang.
Mari kita lihat fakta. Kelulusan 1.3 bilion telah dibuat Kanada sejak tahun 2024 lagi dan bukanlah disebabkan perbualan telefon Trump dan Trudeau pasca kenaikan tarif sahaja.
Keduanya, imigran haram yang masuk ke sempadan AS hanyalah 1 peratus berbanding keseluruhan pendatang haram yang masuk ke Amerika. Jadi, tidak betul ugutan dan dakwaan Trump tersebut.
Malah, dalam konteks Mexico yang sememangnya menjadi pintu masuk pendatang haram ke AS, tetapi bertimbal balas dengan negara tersebut juga menjadi medan penjualan senjata secara haram oleh penjual-penjual senjata dari AS.
Tidak pelik kerana Trump sendiri pro kepada kelompok yang mahukan kebebasan penjualan dan pemilikan senjata oleh rakyat AS.
Jadi, tidak hanya salah Mexico yang terdedah kepada aktiviti jenayah dan rentas sempadan, kerana AS juga menyumbang secara besar kepada peningkatan jenayah di negara tersebut.
Memberi ‘sakit’
Kita lihat fakta ekonomi pula. Kanada dan Mexico kedua-duanya adalah top 5 rakan dagang terbesar US.
Malah, untuk Kanada sahaja, jumlah eksport AS ke Canada adalah terbesar dan melebihi eksport US ke-4 rakan dagang terbesar yang lain termasuk China, Jerman, Jepun dan UK.
Kanada satu-satunya rakan dagang terbesar AS yang berlaku surplus dengan makna eksport barangan AS ke Kanada melebihi import barangan Kanada ke AS di tahun 2023.
Selebihnya, AS bergelut dengan trade ‘deficit’ terutamanya dengan China yang sentiasa menjadi medan AS mengimport dalam jumlah yang besar barangan negara yang dia ‘musuhi’ tersebut.
Bukan sekadar itu, Kanada juga adalah pasaran terbesar kepada barangan yang dikeluarkan oleh 36 daripada 50 negeri yang ada di AS.
Selain itu, sekitar 43 buah negeri di AS menjual barangan mereka ke Kanada dengan nilai setiap negeri melebihi USD 1 bilion setahun.
Besar jumlahnya dan pastinya 43/50 negeri ini akan terkesan besar dengan kenaikan tarif yang Kanada balas terhadap AS sebanyak 25 peratus.
Pokoknya, sama ada Kanada atau Mexico yang bakal berdepan dengan ‘kesakitan’ akibat Perang Dagang Trump itu, turut sama boleh memberi ‘sakit’ kepada Trump dan juga AS secara keseluruhannya. Maka Perang Dagang 2.0 Trump ini ditangguhkan kenaikannya sebulan.
Malah, Trump juga menyatakan bahawa dia sedang berusaha menghubungi China untuk turut sama ‘berbincang’ selepas China mengenakan kenaikan 15 peratus tarif terhadap eksport gas dari AS dan beberapa barangan lain selepas AS mengenakan kenaikan 10 peratus buat barangan China.
Maknanya era ini, bukan sekadar ‘kita’ boleh sakitkan orang, tetapi orang juga boleh bertindak balas yang sama.
Tak kiralah sakit sedikit atau banyak, tetapi tetaplah akan merasa kesakitannya. Apa lagi? Israel la pula.
Selepas bertemu Netanyahu, Trump umumkan hendak ‘mengosongkan’ Gaza dengan dipindahkan (dihalau) penduduknya ke Jordan dan Mesir, kemudian AS ambil alih dan bangunkan. Ewah! Hebat sangat gayanya seperti harta milik peribadinya.
Sejurus pengumuman Trump ini, hampir kesemua sekutunya menolak dan membantah keras ‘niat’ beliau.

UK, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Australia dan beberapa negara Barat dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lain menolak usaha Trump hendak mengosongkan dan mengambil alih Gaza.
Tidak ada langsung suara-suara sekutu Baratnya yang menyokong beliau. Jarang-jarang berlaku bantahan terbuka sebegini.
Britain sebagai sekutu AS paling kanan, kebiasaannya mengambil sikap berdiam diri berbanding membantah secara tersebuka.
Tetapi kali ini ianya dilakukan secara terbuka. Bantahan terbuka dan mengejut ini mengkucar-kacirkan pejabat Trump apabila Setiausaha Akhbarnya yang diasak berulang kali menafikan kononnya Trump bukan hendak pindahkan secara kekal, tetapi pindahkan sementara sahaja penduduk Gaza.
Tidak perlulah kita kira sekali dengan China dan Russia yang sememangnya sentiasa membantah polisi luar AS tersebut.
Begitu juga sebahagian negara-negara Arab yang selama ini bergantung besar keselamatan dan ekonomi mereka kepada AS turut terbuka menolak keras usaha Trump.
Sebenarnya, rancangan Trump ini bukanlah benda baru. Penggal pertama 2017 hingga 2020 lagi Trump sudah merancang melalui Abraham Accord antaranya untuk memindahkan penduduk Gaza ke Sinai Mesir.
Malah, ada negara-negara Arab yang sedia ‘berunding’ ke arah itu dan terbukti 4 daripadanya setuju mengiktiraf Israel dalam rancangan Trump 1.0 tersebut.
Tetapi kali ini suasananya berbeza. Kesemuanya membantah dengan berani. Tiada yang takut sebagaimana biasa dengan ‘mendiamkan’ diri. Tiada.
Jika era Perang Teluk, apabila AS menyeru perang terhadap Iraq yang menawan Kuwait, maka 40 sekutunya sama ada di Barat atau di Timur yang menyertai AS memerangi Iraq.
Begitu juga apabila Bush menyeru ‘Perang terhadap Keganasan’ 2001 yang lalu, lebih 100 negara di dunia menyambut kehendak Bush.
Tiba-tiba di bawah Trump yang kononnya paling berani, tegas dan sangat berkuasa ini, polisinya dibantah terang-terangan oleh sekutunya sendiri.
Mudah untuk difahami, sekutu-sekutu AS di Barat melihat Trump adalah pemimpin yang lemah, dungu dan tidak ada apa yang hendak mereka bimbangkan. Malunya rakyat AS memiliki pemimpin sebegini.
Tidak cukup dengan itu, Trump menuruti kehendak ‘tuannya’ Israel dengan menghukum ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) dengan mengumumkan sekatan terhadap staff ICC.
Sebab apa? Sebagai hamba kepada Netanyahu yang dikenakan waran tangkap oleh ICC disebabkan jenayah perang genocide di Gaza, Trump amat marah kepada ICC kerana waran tangkap tersebut telah menyulitkan pergerakan dan hubungan tuannya dengan sekutu-sekutunya yang lain.
Hal ini kerana majoriti negara-negara di Eropah termasuk UK, Perancis dan Jerman menandatangani (ratify) Rome Statute iaitu undang-undang antarabangsa berkait jenayah perang yang menjadi punca kuasa ICC.
Maka negara-negara Barat tersebut bersama 123 negara lain di seluruh dunia ‘bertanggungjawab’ melaksanakan perintah pendakwaraya ICC untuk menangkap Netanyahu. Beliau tidak kisah jika tidak boleh terbang ke Malaysia atau Indonesia.
Tetapi jika ke negara-negara Barat yang selama ini menjadi sekutunya juga tidak boleh menjejakkan kaki ke sana, maka semakin terpencillah Netanyahu dan Israel tersebut.
Maka atas arahan tuannya Netanyahu, Trump melanggar norma dunia mengumumkan sekatan terhadap kakitangan ICC.
Namun, tindakan itu menjadi malang bertimpa-timpa buat Trump selepas ia menerima nasib malang dalam isu Kanada dan Mexico serta isu Gaza.
Kali ini, sekali lagi UK sebagai sekutu utamanya bersama Jerman dan Perancis menyertai lebih 70 buah negara yang lain mengeluarkan kenyataan bersama menolak keputusan Trump tersebut.
Boleh jadi mereka bimbang jika undang-undang antarabangsa tidak dihormati dan dilanggar sedemikian rupa, boleh jadi kesannya ia akan ‘menggalakkan’ pihak lain turut sama melanggarnya dan terciptalah ‘tatanan baru’ dunia yang tidak lagi mempedulikan institusi antarabangsa yang diasaskan pemenang WW2 yang diketuai US tersebut.
Kesimpulannya untuk 21 hari pertama pentadbiran Trump ini jelas menampakkan bahawa beliau bukanlah pemimpin yang pintar, berani dan dihormati apabila setiap polisi luarnya bukan sekadar diserang balas tetapi dibantah secara berjemaah oleh sekutu-sekutunya sendiri.
Oh tambah lagi. Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan Australia kali ini menolak untuk ‘menyertai’ Perang Dagang 2.0 Trump terhadap China.
Mereka mahu meningkatkan perdagangan dan hubungan diplomatik dengan negara yang memiliki pasaran terbesar di dunia tersebut.
Lalu kita bagaimana? Terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan keupayaan kita, juga berdoa buat saudara saudara semanusia dengan kita yang masih lagi belum bebas merdeka khususnya di Palestin dan seluruh belahan dunia ketika ini.
BACA JUGA Perosak negara sasar dua segmen pengundi ini
Â