Heboh beberapa das tembakan di pusat beli-belah, suspek sedang dijejaki

Pusat beli-belah terkenal, Setia City Mall di Setia Alam, Shah Alam, Selangor muncul sohor kini di media sosial susulan kejadian tembakan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Lebih 5,700 hantaran setakat ini di platform X memperkatakan kejadian menggemparkan itu dengan sejumlah video dan gambar berkaitan dikongsikan mereka yang berada di lokasi tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjejaki seorang lelaki warga tempatan yang telah melepaskan lapan tembakan sebelum bertindak melarikan diri, lapor Astro Awani.

Menerusi rakaman video yang tersebar, terdengar beberapa das tembakan dan jeritan ketakutan orang ramai.

Seorang pekerja pusat beli-belah itu pula dilihat sedang menahan kesakitan akibat cedera di betis kiri dipercayai akibat tembakan yang tersasar. (gambar atas)

Terdapat juga rakaman berkenaan peringatan pihak berkuasa melarang orang ramai menggunakan lif dan eskalator.

Suasana di dalam premis itu juga menjadi hingar-bingar apabila pengunjung dan pekerja bertempiaran lari menyelamatkan diri termasuk berlindung dalam premis.

Seorang TikTokers turut merakamkan detik-detik cemas sejurus tembakan. Malah, kedengaran sekali lagi bunyi das tembakan.

@sehayahayaofficial

Kes Tembak Menembak dalam setia Mall .. Kami terkepung dalam ney

♬ original sound – SEHA YAHAYA OFFICIAL – SEHA YAHAYA OFFICIAL

Pengguna X, @NamiLeinad pula memberitahu seorang pekerja di Setia City Mall melarang dia menuju ke aras LG kira-kira pukul 9.50 malam kerana terdapat staf sudah ditembak.

“Tiba-tiba, saya dengar ada lagi bunyi tembakan dekat LG,” katanya.

Namun, dalam masa sama, terdapat reaksi perakam video yang sempat ketawa berulang kali walaupun kerap mengulang sebut takut selain terdapat pemuda berlari mengolok-olokkan kejadian yang berisiko meragut nyawa itu.

Reaksi main-main itu sekaligus mengundang kebimbangan banyak pihak berkenaan tahap kesedaran dan tindakan sebahagian masyarakat di negara ini ketika kejadian jenayah sedang berlaku.

BACA JUGA Tanpa rasa malu Pas guna hotel milik YTL Group yang difitnah sebelum ini