Isu dua khatib langgar arahan JAIPk: Ini penjelasan bekas ADUN

Oleh HASNUL ZULKARNAIN ABD MUNAIM

Polemik khutbah Jumaat bertajuk fitnah telah dimulakan anak Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria iaitu Rifaat melalui hantaran Facebook beliau pada 30 Januari lalu.

Penulisan Rifaat pada perenggan nombor 7 adalah satu tuduhan yang sangat JAHAT terhadap MAIPK dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Sedangkan teks khutbah ini sudah dirangka awal sebulan dan dua bulan daripada tarikhnya.

Pada hari Jumaat, 31 Januari jam 10.30 pagi, saya membuat laporan polis kerana posting Facebook Rifaat boleh mencetuskan kacau ganggu umat Islam di Perak.

Kebimbangan saya mungkin ada khatib yang tidak membaca teks khutbah bertajuk fitnah.

Ini akan mencetuskan rasa tidak selesa jemaah pada hari Jumaat tersebut.

Telahan saya tepat dan perkara ini benar-benar terjadi walaupun pihak JAIPk telah memberi peringatan awal pada hari Khamis bahawa teks khutbah FITNAH tidak menuju kepada sesiapa mahupun Razman Zakaria.

Aduan pertama yang saya terima sebaik sahaja selesai solat Jumaat lebih kurang jam 3 petang, terdapat sebuah masjid di Mukim Parit Buntar yang tidak patuh arahan JAIPk.

Saya hubungi khatib tersebut. Dia akuinya membaca teks khutbah Pulau Pinang.

Alasannya, teks tidak boleh dimuat turun untuk dicetak dan dia ada masalah penglihatan. (Saya ada simpan rakaman perbualannya).

Pada jam 8 malam hari Jumaat, saya menerima aduan seorang yang saya tidak kenali bahawa terdapat sebuah masjid di Teluk Intan turut melanggar arahan JAIPk.

Pemberi maklumat turut menyertakan rakaman suara khatib tersebut sebagai bukti.

Saya hubungi Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah (PTA) Teluk Intan minta kerjasama dia menyemak aduan ini. Dalam masa sama, saya cuba dapatkan nombor telefon khatib tersebut melalui kenalan saya.

Saya dapat bercakap dengan khatib tersebut. Dia akui tidak membaca teks FITNAH sebaliknya dia baca teks khutbah tahun 2023. Dia berdolak-dalih dengan alasan yang tidak logik. (Rakaman perbualan penuh dalam simpanan saya).

Kes di Teluk Intan sangat berat kerana kes ini berlaku DI MASJID DAERAH bukan MASJID MUKIM.

Masjid Daerah dipengerusikan oleh pegawai daerah yang mewakili Kerajaan Negeri. Berbeza dengan dua hingga tiga kes yang berlaku di masjid mukim.

Sebab itu, saya merasakan khatib tersebut sangat jelas mengingkari arahan Tuanku Sultan yang mahu masjid menjadi tempat penyatuan umat Islam.

Sebaliknya, khatib tersebut mencetuskan kekeliruan jemaah masjid yang hadir memandangkan sebahagian besar jemaah mengetahui bahawa teks khutbah yang akan disampaikan khatib bertugas adalah bertajuk FITNAH.

Saya bertindak membuat laporan polis atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Perak yamg mahukan keamanan dan keharmonian ibadah umat Islam tidak dikacau gangggu atas kelemahan yang disengajakan atau tidak disengajakan oleh pihak tertentu.

Saya mengetahui kesan yang akan menimpa kepada diri saya dengan kata hinaan atas isu ini.

Namun, saya mengambil sedikit tanggungjawab untuk memperbetulkan kelompongan yang ada dalam pentadbiran masjid selari dengan Titah Tuanku Sultan.

Masyarakat perlu dididik dan disemai rasa hormat kepada Pentadbir Agama Negeri khususnya Tuanku Sultan.

Hampir setiap Titah Tuanku Sultan ketika pembukaan sidang DUN Perak menekankan KEWAJIPAN MEMELIHARA KEHARMONIAN KEHIDUPAN RAKYAT PERAK.

Semoga dengan berlaku kes seperti ini akan memberi pengajaran kepada khatib-khatib yang lain supaya patuh dengan arahan MAIPK dan JAIPk.

Kalian (khatib-khatib) diberi keistimewaan dan terpilih daripada ribuan ustaz-ustaz yang memohon tauliah untuk berkhutbah di atas mimbar.

Gunakan kesempatan dengan sebaik-baiknya dengan title khatib untuk mendidik, menasihati dan membentuk peribadi baik umat Islam di Perak.

Besar pahala kalian kerana mengajak orang menjauhi perkara mungkar, melaksanakan perkara makruf.

Isu-isu lain yang berkaitan hal politik dan dasar kerajaan adalah di luar bidang saya. Ada parti-parti politik yang berperanan untuk mengetengahkan isu tersebut.

Tujuan utama saya bertindak dalam isu ini adalah kerana institusi masjid dan Tuanku Sultan Perak wajib dihormati. Sebagai bangsa Melayu beragama Islam, Tuanku Sultan adalah payung kepada keamanan negeri.

Daulat Tuanku.

BACA JUGA ‘Tebuk Atap 2.0’: Ada yang mahu berpaling tadah selepas Aidilfitri?

Â