Ulama tidak berpolitik bukan waris para anbiya, kata Presiden Pas

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa ulama yang tidak berpolitik bukan waris para anbiya atau nabi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sejak 1986 kecuali 2004 hingga 2008 itu berkata, kenyataan yang melarang mendekati ulama yang berpolitik adalah bertentangan dengan al-Quran.

“Al-Quran membawa cerita para anbiya’ yang tidak memisahkan politik daripada dakwah, bermula dari zaman Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW, nabi akhir zaman.

“Al-Quran menceritakan pengumuman Allah SWT kepada para malaikat, sewaktu hendak menciptakan Nabi Adam AS, bapa kepada semua manusia yang dilantik menjadi nabi dan rasul pertama,” katanya.

Menerusi Minda Presiden Pas, Abdul Hadi berkata, para ulama tafsir menegaskan bahawa ulu al-amr merujuk kepada gabungan umara iaitu pemimpin dan ulama yang menggantikan peranan para anbiya.

“Pemimpin bertanggungjawab menjaga amanah kuasa politik, manakala ulama memelihara amanah ilmu agama yang memandu seluruh cara hidup manusia.

“Sejarah mencatatkan bahawa semua imam mazhab yang besar pernah mengalami penindasan, sama ada dipenjara atau dihukum, kerana keberanian mereka menentang kezaliman pemerintah pada zaman masing-masing

“Antaranya, Imam Sa‘id bin Jubair dibunuh dengan dipancung kepalanya, Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam penjara, Imam Malik pula dihukum sebat, manakala Imam al-Syafi‘i dibelenggu dan Imam Ahmad bin Hanbal pula dihukum sebat,” jelasnya.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan turut menyebut tentang ‘ulama upahan’.

Semua ulama yang meninggalkan pusaka ilmu dalam kitab yang muktabar pada hari ini berjuang politik yang menjadi waris para anbiya’ yang mewarisi ilmu dan perjuangan mereka.

“Adapun ulama upahan akan hilang ditelan zaman kerana mencari kesenangan dunia yang sementara waktu,” ujarnya lagi.

BACA JUGA ‘Tebuk Atap 2.0’: Ada yang mahu berpaling tadah selepas Aidilfitri?

Â