Pemuda DAP sekolahkan Akmal agar berpolitik secara baik

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh diingatkan bahawa bukan parti beliau sahaja yang mempunyai prinsip menjaga agama, bangsa dan tanah air, tetapi parti-parti lain termasuk DAP juga mempunyai prinsip sedemikian.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, sungguhpun DAP dan UMNO berlainan parti politik, namun asas dan tujuan parti-parti politik yang wujud di Malaysia ini tidak banyak bezanya.

“Saya ingin mengajaknya untuk beringat bahawa UMNO sama juga dengan DAP serta parti-parti politik lain memainkan peranan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara ini.

“Kita sama-sama mahukan keamanan, kemerdekaan dan kedaulatan yang selama ini kita rasa, berterusan.

“DAP yang secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1966 dan memegang prinsip demokrasi sosial juga mahukan hal yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syaheera berkata demikian mengulas kenyataan Akmal pada semalam yang memberi amaran kepada ketua pemuda DAPSY, Woo Kah Leong bahawa prinsip UMNO adalah menjaga agama bangsa dan tanah air, bukan hanya berpolitik semberono.

Akmal berkata, mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama Islam dan bangsa Melayu tidak kira siapa pun mereka maka ia menjadi tanggungjawab beliau untuk melawan.

Kenyataan Akmal itu dikeluarkan selepas Kah Leong memberi nasihat supaya tidak bersikap lebih daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) sendiri.

Sementara itu Syaheera menasihatkan Akmal supaya tidak lagi duduk di bawah tempurung lalu membuatkan masyarakat hilang rasa hormat kepada UMNO, akhirnya politik dianggap sebagai lapangan yang kotor dan jijik.

“Sebagai pimpinan pemuda parti masing-masing, saya ingin mengajak secara baik untuk kembali kepada dasar, asas perjuangan sebenar parti dan sama-sama kita bergerak ke arah membawa Malaysia yang lebih harmoni, kuat dengan kerjasama semua kaum,” ujarnya.

BACA JUGA PM beri amaran kepada peniaga bazar Ramadan jika kantoi buat hal ini

Â